GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Sandakan: Wanita warga Indonesia ditemukan mati dengan kesan kelar di leher dipercayai dibunuh oleh teman lelaki anaknya dalam kejadian di sebuah rumah di Apartmen Taman Sentosa, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, siasatan awal polis mendapati, mangsa tinggal bersama anak perempuannya yang berusia 25 tahun.

Katanya, suspek yang juga kekasih anaknya dikatakan datang ke rumah mereka pada jam 5.50 petang, sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

"Suspek dipercayai mengelar leher wanita Indonesia berusia 59 tahun itu dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Anak perempuan mangsa pula cedera ringan di bahagian tangannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Fuad berkata, selepas kejadian, suspek yang juga warga tempatan berusia 31 tahun menyerah diri di Balai Polis Sandakan dan ditahan untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, setakat ini, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan suspek kini ditahan reman.

"Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk bedah siasat.

"Kes siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 12:30 PM