GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Lima individu direman empat hari bermula hari ini kerana disyaki terbabit dalam kes berkaitan memperdaya kerajaan Sabah bagi mengelak membayar royalti penjualan emas.

Perintah reman sehingga 26 Mei itu dikeluarkan oleh Majistret Shasha Damia Sabtu selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret dekat sini, pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada pengarah dan pengurus akaun syarikat emas serta tukang emas dalam lingkungan umur 30 hingga 50 tahun itu.

Mereka ditahan jam 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM.

Sumber berkata, suspek disyaki membeli emas dengan jumlah berat ratusan kilogram pada anggaran nilai jutaan ringgit dan mengemukakan penyata jual beli mengandungi butiran palsu bagi mengelak daripada membayar royalti sebenar kepada kerajaan Sabah.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 6:16 PM