Oleh Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan ditambah dalam usaha memperkasakan Kumpulan Kolej MSU.

Presidennya Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, itu adalah fokus utama kepada kolej MSU selain melihat lebih banyak TVET semasa untuk graduasi akan datang.

"Perkara kedua, kita juga ingin menggunakan sepenuhnya fleksibliti dalam landskap pendidikan sekarang untuk 'appeal micro credential' di peringkat kolej kerana saya percaya itu sebenarnya boleh memberi peluang pendidikan yang lebih besar dan luas kepada masyarakat di negara kita.

"Terutamanya untuk mereka yang tidak berkemampuan untuk datang ke kampus atau MSU Shah Alam dan juga untuk membangunkan ekonomi SME di peringkat negeri kerana saya rasa itulah cabaran 'post' Covid-19.

"Kalau sebagai kolej, kita boleh membantu dalam konteks memberi pendidikan, kemahiran TVET dan pembelajaran sepanjang hayat. Itulah sumbangan kita kepada pembangunan negara dan ekonomi pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Konvokesyen ke-25 Kumpulan Kolej MSU di Dewan Canselor MSU, Seksyen 13, di sini, hari ini.

Mohd Shukri berkata, pada masa kini, MSU sedang dalam usaha menambahkan program dan sektor.

"Antara program TVET yang 'strong' di MSU adalah F&B, kulinari, hospitaliti dan pelancongan. Kita ingin melihat dalam konteks perubatan dan kesihatan, contohnya di sini, kita satu-satunya universiti yang ada Bachelor of Cardiovascular.

"Jadi MSU hendak perbanyakkan lagi program TVET yang menyokong sektor kesihatan. Ketiga adalah sektor teknologi supaya ia boleh membantu keusahawanan di peringkat kolej dan luar kolej," katanya.

Mengulas mengenai majlis konvokesyen berkenaan, beliau berkata, tiga kategori khas dianugerahkan kepada 10 graduan sebagai pengiktirafan di atas pencapaian mereka dalam aspek akademik dan kemahiran insaniah.

Tiga kategori itu membabitkan seorang graduan bagi Anugerah Emas Presiden, seorang graduan menerima Anugerah Mohd Shukri Yajid serta lapan graduan meraih Anugerah Akademik.

Pada konvokesyen kali ini, Priestly Ivan Noah Simon, 22, yang berjaya menamatkan pengajian Diploma Pengurusan dari MSU College Sabah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas Presiden.

Ketika ditemui, anak bongsu daripada lima beradik itu berhasrat mengekalkan keputusan cemerlang yang diraihnya.

"Perancangan saya mengikut kemampuan saya tetapi saya mahu sambung sehingga ke Ijazah Doktor Falsafah dengan keizinan Tuhan.

"Cita-cita saya untuk menjadi seorang pemimpin negara, jadi saya berharap dalam tempoh lima hingga 10 tahun ini, saya boleh beraksi di pentas pilihan raya negara.

"Saya berharap dengan kemahiran yang saya belajar di sini, saya dapat memegang jawatan tinggi dalam kerajaan, mampu memberi dan menyumbang semula kepada keluarga dan masyarakat terutama masyarakat Sabah dan Sarawak," katanya.

Antara ibu bapa graduan yang turut hadir pada Majlis Graduasi  Kumpulan MSU College (MSUC) Ke-25 di Dewan Canselor, MSU Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Antara ibu bapa graduan yang turut hadir pada Majlis Graduasi Kumpulan MSU College (MSUC) Ke-25 di Dewan Canselor, MSU Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 4:05 PM