GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Polis menahan pengasuh wanita berhubung kes kematian bayi perempuan berusia tiga bulan di rumahnya di Sungai Way, di sini, 9 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa mangsa pada 3.56 petang hari kejadian.

"Bertindak atas maklumat, pada 13 Mei, jam 5.30 petang polis membuat tangkapan seorang wanita berusia 31 tahun di kediamannya di Petaling Jaya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki melakukan pengabaian terhadap bayi berusia tiga bulan di kediamannya sehingga menyebabkan kematian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Harian Metro melaporkan, bapa pasangan kembar, Abdur Rahman Abdullah reda kehilangan anak berusia hampir empat bulan yang meninggal dunia di rumah pengasuh, 9 Mei lalu.

Lebih memilukan apabila adik kepada bayi itu terlebih dahulu meninggal dunia di hospital ketika berusia sembilan hari disebabkan masalah pendarahan dalam otak.

Mengulas lanjut Fakhrudin berkata, suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai diambil keterangan.

"Siasatan diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kematian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi balai berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 0379662222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 3:33 PM