GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengetepikan hukuman sebatan ringan sebanyak tujuh kali terhadap seorang remaja yang didapati bersalah menyebabkan kesakitan secara kejam seekor anjing, Mac lalu.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas membuat semakan jenayah ke atas hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen di sini, ke atas Braden Yap Hong Sheng, 19, pada 18 April lalu.

Braden sebelum ini dihukum sebatan ringan tujuh kali serta bon berkelakuan baik selama setahun oleh Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Peguam GK Sritharan yang mewakili remaja itu berkata, Hakim Mahkamah Tinggi (Abu Bakar) memanggil pihak pendakwaan dan pembelaan bagi mendengar prosiding semakan jenayah terhadap hukuman itu, hari ini.

"Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat semakan jenayah dan mengubah hukuman sebatan tujuh kali itu dan sekarang hukuman yang tinggal hanya bon berkelakuan baik selama 12 bulan.

"Asas diberikan hakim mengikut perintah Seksyen 293 Kanun Prosedur Jenayah yang tidak boleh ada dua hukuman kerana perkataan 'atau'.

"Mahkamah Sesyen sebelum ini berikan dua hukuman iaitu satu sebatan dan satu bon, jadi ia tidak boleh," katanya ketika ditemui di luar mahkamah di sini, hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali.

Mahkamah Sesyen sebelum ini menetapkan tarikh hari ini untuk pelaksanaan hukuman sebatan ringan terbabit.

Pada 12 April lalu, Braden mengaku bersalah dengan kejamnya menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya ke atas seekor anjing betina berwarna coklat di depan sebuah premis di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, Skudai di sini, jam 1.49 pagi, 27 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 2:16 PM