Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kesakitan secara kejam terhadap seekor anjing, bulan lalu.

Braden Yap Hong Sheng, 19, yang juga orang kena saman (OKS) mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan kejamnya menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya ke atas seekor anjing betina berwarna coklat di depan sebuah premis di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, Skudai di sini, jam 1.49 pagi, 27 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, OKS didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, kira-kira 12.30 tengah hari, 28 Mac lalu, Doktor Veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas seekor anjing berdasarkan aduan awam berkaitan seorang lelaki yang memukul dan membakar seekor anjing.

Hasil pemeriksaan mendapati anjing berada dalam keadaan ketakutan serta terdapat kesan lebam dan terbakar di peha kiri, luka pada kaki hadapan dan pendarahan di bahagian mata sebelah kiri.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), OKS didapati memukul dan membakar anjing berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa JPV Negeri Johor, Mohd Zamri Shak @ Ishak.

Sementara itu, peguam P Rajakunaseelan memohon penangguhan bagi hukuman terhadap OKS itu memandangkan peguam GK Sritharan yang sepatutnya mewakili OKS tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.

"Peguam yang dilantik OKS kini berada di Filipina dan penerbangan pulangnya ke Malaysia adalah pada minggu depan," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 April ini untuk fakta dan hukuman terhadap OKS.

Braden Yap dihadapkan ke Mahkamah Sesyen. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Braden Yap dihadapkan ke Mahkamah Sesyen. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 10:44 AM