Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Ketibaan Syawal kali ini amat bermakna buat pesakit barah payu dara, Jamilah Ahmad, 53, apabila doktor mengesahkan ketulan di payu daranya sudah tiada selain sel barahnya sudah berkurangan.

Katanya, sebelum ini dia amat risaukan kesihatannya disebabkan barah yang dihidapi sejak 2011 itu menyerang kali kedua pada 2019.

"Waktu itu, doktor beritahu, barah yang saya hidapi sudah merebak daripada tahap tiga ke tahap empat menyebabkan saya bertambah risau.

"Saya tidak pernah putus asa dan terus menjalani rawatan sebanyak 20 kali pusingan kemoterapi selain tiga kali pembedahan pada 2011, 2019 dan 2020," katanya ditemui pada Program Haddiya Ramadan Agihan Bakul Makanan kepada pesakit barah di negeri ini di Dewan Seri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, hari ini.

Program dirasmikan oleh EXCO, Datuk Dr Mohd Hayati Othman serta beberapa penyumbang untuk program itu.

Menurut Jamilah, selain doa kepada Allah SWT, kesungguhan dan kecekalan yang dilaluinya selama ini akhirnya membuahkan hasil apabila doktor mengesahkan sel barah itu sudah berkurangan selain saluran pemakanannya yang sebelum ini mempunyai masalah kini semakin baik.

Dia dimaklumkan berkaitan perkembangan itu ketika menjalani rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang pada 8 April lalu.

"Syukur. Saya juga cukup seronok menerima berita itu pada Ramadan yang mulia, apatah lagi Aidilfitri juga bakal menjelma.

"Saya berterima kasih kerana 'Cancer Survivors Malaysia' (CSM) banyak memberi semangat kepada saya supaya meneruskan rawatan seperti yang ditetapkan oleh doktor," katanya.

Menurut Jamilah, dalam program ini juga, dia membawa rakan-rakannya yang turut menghidap barah untuk menyertai program CSM selain berkongsi ilmu serta mengambil bakul makanan untuk persiapan Aidilfitri.

Pengerusi CSM Zuraini Kamal berkata, 600 pesakit barah di negeri ini menerima sumbangan agihan bakul makanan serta baucer RM50 untuk membeli barangan kelengkapan dapur bagi menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata, kesemua nilai sumbangan itu mencecah RM100,000. Ia bertujuan untuk memberi keceriaan kepada pesakit barah serta meringankan beban mereka untuk menyambut Syawal.

"Program seperti ini kita adakan setiap tahun dan Insya-Allah, kita akan adakan lagi pada masa depan.

"CSM berterima kasih kepada semua penyumbang seperti Pelitawanis Tenaga Malaysia Berhad (TNB) Kedah, Pertubuhan Mutiara Ehsan Al Khairi Care (MTEAK) serta Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman dan isteri, Datin Norashimah Abdul Hamid," katanya.

Zuraini berkata, rawatan untuk pesakit barah sangat panjang dan CSM hanya sekadar membantu pesakit selain mendengar keluhan mereka kerana ada yang runsing disebabkan bil elektrik tertunggak, tidak mampu membayar sewa rumah serta membayar bil hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 3:28 PM
Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman (tiga dari kiri) dan Pengerusi CSM, Zuraini Kamal (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan baucer dan bakul makanan kepada pesakit kanser di Program Haddiya Ramadan Agihan Sumbangan Bakul Makanan Pesakit Kanser di Dewan Seri Mentaloon. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman (tiga dari kiri) dan Pengerusi CSM, Zuraini Kamal (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan baucer dan bakul makanan kepada pesakit kanser di Program Haddiya Ramadan Agihan Sumbangan Bakul Makanan Pesakit Kanser di Dewan Seri Mentaloon. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI