GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) membawa kira-kira 400 aduan mangsa penipuan skim pelaburan dengan nilai kerugian RM900 juta kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Setiausaha Agungnya Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya membawa aduan terbabit yang menjadi mangsa penipuan daripada dua syarikat.

"Penipuan kali ini dinamakan sindiket ala syarikat sah dan ala syarikat patuh syariah seolah-olah mereka tawarkan satu skim pelaburan sah di sisi undang-undang serta gunakan nama besar seperti bekas pesara kerajaan, nama individu yang ada reputasi kewangan selain agensi atau syarikat yang memberi kelulusan patuh syariah.

"Taktik ini menyebabkan ramai tertipu kerana percaya syarikat mereka labur dan pelaburan ini sah kerana kebanyakan syarikat ini ada sijil patuh syariah.

"Ini bukan kes terpencil kerana membabitkan nilai wang besar dan kebanyakan mereka (mangsa) bukan orang kaya dan gunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka kerana percaya wang ini akan dilaburkan dengan syarikat sah, malah wujud koperasi berkaitan kerajaan, persatuan kakitangan kerajaan juga tertipu dengan sindiket ini," katanya ketika ditemui di SSM di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memohon SSM sebagai agensi yang mengawal selia skim pelaburan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 mengambil tindakan tegas terhadap dua syarikat terbabit serta 220 lagi syarikat yang masih berleluasa memperdaya orang ramai.

"Dalam kajian kita mendapati, 220 syarikat masih berleluasa di luar sana menawarkan skim pelaburan dengan menggunakan deposit information memo kepada Suruhanjaya Sekuriti (AC) untuk menunjukkan syarikat mereka sah.

"Kita perlu hentikan dan kita yakin SSM agensi yang perlu menyiasat dan ambil tindakan kerana pelaburan mereka tidak sah kerana tidak berdaftar di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 .

"Justeru, kita merayu kepada SSM mengeluarkan senarai syarikat yang masih masih mempromosikan skim pelaburan serta gagal mendaftar dengan akta ini bagi mencegah lebih ramai menjadi mangsa," katanya.

Sementara itu, mangsa, S Azlan Selamat, 56, berkata, dia masih menaruh harapan supaya wang pelaburannya bernilai RM500,000 dikembalikan syarikat yang berpangkalan di ibu negara itu.

"Saya mula tertarik dengan pelaburan ini selepas ejen syarikat itu yang juga kenalan saya dari sebuah bank memberitahu mengenai skim patuh syariah ini.

"Saya melaburkan RM500,000 wang simpanan pada November 2021 dan sempat merasa wang dividen RM16,500 setiap bulan bermula Januari hingga Mei 2022 sebelum dihentikan dengan alasan audit dan sebagainya.

"Saya hubungi syarikat itu dan mereka tidak melayan lagi sebelum saya dapatkan bantuan MHO untuk tindakan selanjutnya," katanya yang menetap di Gelang Patah, Johor.

Katanya, dia meminta pihak berkuasa mengambil tindakan termasuk membekukan kewangan syarikat itu berikutan masih berleluasa mempromosikan pelaburan itu kepada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 7:31 PM