Noorazura Abdul Rahman

Padang Serai: "Saya rasa agak pelik kerana pentas kita adalah sebuah lori, pentas kempen Barisan Nasional (BN) disediakan baik tetapi kalah," kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Itu reaksi pemimpin nombor dua negara yang juga Pengerusi BN ketika Ceramah Mega Ayuh Malaysia sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Kampung Tunku Putra, di sini malam tadi.

Justeru, katanya, lebih baik berkempen atas lori daripada berkempen di tempat atau pentas yang lebih baik, tetapi kalah dalam pilihan raya.

"Keputusan pilihan raya sudah diperoleh pada 19 November lalu, yang menang 73 (Perikatan Nasional), jadi pembangkang, yang menang 30 jadi kerajaan.

"Ini kerana yakin bahawa PH adalah 'partner' (rakan) politik yang baik untuk mentadbir negara ini," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, Padang Serai memerlukan wakil rakyat yang sealiran dengan pemikiran dan parti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

AHMAD Zahid ketika menyampaikan ucapan semasa hadir membantu kempen bagi Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Padang Serai Dr Sofee Razak pada Ceramah Mega Ayuh Malaysia - Kerajaan Perpaduan Untuk Semua di Kampung Tunku Putra. FOTO Bernama.
AHMAD Zahid ketika menyampaikan ucapan semasa hadir membantu kempen bagi Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Padang Serai Dr Sofee Razak pada Ceramah Mega Ayuh Malaysia - Kerajaan Perpaduan Untuk Semua di Kampung Tunku Putra. FOTO Bernama.

"Ini kerana Kerajaan Persekutuan adalah kerajaan di bawah naungan Datuk Seri Anwar, maka Datuk Seri Anwar meletakkan Dr Mohamad Sofee Razak sebagai wakilnya.

"Saya merasakan bahawa kemenangan akan jadi milik Sofee pada 7 Disember ini. Insya Allah akan menambahkan kerusi PH daripada 82 kerusi kepada 83 kerusi, "katanya.

Ahmad Zahid berkata, selama 24 tahun Umno dan BN bermusuh dengan PKR, Dap dan terbaru Parti Amanah Negara (Amanah) tetapi musuh itu kini adalah kawan yang sebenar yang mampu membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Seluruh rakyat tahu kami alergi orang pakai baju biru muda, dulu kami alergi tetapi ada ubatnya.

"Ubatnya ialah keikhlasan untuk kita bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan yang kuat, atas dasar itulah kita harus melupakan perbezaan dalam kalangan kita," katanya.

Ahmad Zahid dalam pada itu turut memberi bayangan akan terus bekerjasama dengan PH dalam tempoh jangka panjang sebagai satu pasukan yang kuat dan kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 9:04 AM