LATIHAN menyelamat `mangsa’ pesawat komersil terhempas di Pulau Langkawi oleh agensi penyelamat
LATIHAN menyelamat `mangsa’ pesawat komersil terhempas di Pulau Langkawi oleh agensi penyelamat
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Sebuah pesawat komersil terpaksa melakukan pendaratan cemas di atas permukaan laut berhampiran Pulau Langkawi sejurus bertembung dengan sebuah pesawat pejuang yang hilang kawalan akibat kerosakan enjin.

Kejadian menyebabkan sebahagian 67 penumpang pesawat komersil itu mengalami kecederaan parah selain rata-ratanya ditemui terapung di permukaan laut.

Bagaimanapun semua penumpang pesawat komersil berkenaan berjaya diselamatkan pelbagai agensi yang bertindak pantas melakukan operasi mencari dan menyelamat semua mangsa terbabit.

Situasi insiden `panik' itu adalah sebahagian simulasi Eksesais Mencari dan Menyelamat Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 atau Search and Rescue Exercise Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition 2023 (SAREX LIMA`23) yang dilaksanakan bermula 9 hingga 12

Mei 2023 bertempat di Pulau Langkawi.

Bahagian Perhubungan Awam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kenyataannya berkata, SAREX LIMA '23 dilaksanakan sebagai persediaan bagi menghadapi segala kemungkinan insiden yang boleh terjadi ketika Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23) yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini.

Menurut kenyataan itu, latihan berkenaan memberikan gambaran kepada semua pihak yang terlibat berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) serta tindakan segera yang efektif dan efisien TUDM dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia atau Civil Aviation

Authority of Malaysia (CAAM)sebagai penganjur bersama eksesais.

"Melalui SAREX, eksesais ini bagi meningkatkan keupayaan dan kesiagaan di dalam menangani sebarang kemungkinan kemalangan udara, maritim dan darat sepanjang LIMA '23.

"Antara aset diaturgerak selain TUDM adalah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM).

"SAREX LIMA'23 dilaksanakan secara dua peringkat iaitu air (Water SAREX) dan darat (Land SAREX) di sekitar pulau peranginan berkenaan," katanya.

Kenyataan itu memberitahu eksesais berkenaan antara lain memberi fokus kepada menguji keberkesanan proses koordinasi dan komunikasi semasa usaha mencari dan menyelamat dan pelan kecemasan lapangan terbang selain mengenal pasti kebolehgunaan dan keserasian pelbagai arahan pentadbiran dan prosedur tetap yang digunakan semasa situasi kecemasan.

Kira-kira 1,000 peserta daripada 33 agensi termasuk Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terbabit dalam eksesais berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 9:25 AM