Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan inisiatif baharu iaitu 'Label Ubat Mesra OKU Penglihatan' yang dicetak dalam tulisan Braille.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif diwujudkan bagi memudahkan orang kurang upaya (OKU) penglihatan mendapat maklumat yang cepat dan tepat mengenai ubat.

"Golongan OKU sentiasa menjadi kumpulan keutamaan bagi KKM. Kita sentiasa memikirkan kaedah-kaedah baru bagi memudahkan dan membantu rakan-rakan OKU dalam mencapai perkhidmatan kesihatan yang terbaik.

"Buat permulaan, inisiatif ini akan dilaksanakan di 250 klinik kesihatan di seluruh negara yang akan memanfaatkan seramai 55,000 OKU penglihatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KKM di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni; Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Zaliha berkata, menerusi inisiatif itu, label ubat yang diberikan kepada pesakit OKU penglihatan akan mempunyai tulisan Braille.

"Ia bagi menjelaskan cara pengambilan atau dos ubat (misalnya dua biji ubat, tiga kali sehari).

"Selain itu, label ini turut mempunyai indikasi ubat yang menerangkan kegunaan ubat (contoh demam, batuk atau selesema," katanya.

Beliau berkata, Malaysia antara negara terawal di Asia yang memperkenalkan label ubat yang mesra OKU penglihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 10:54 AM
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa. FOTO MOHD FADLI HAMZAH