Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: PAS dukacita dengan keputusan UMNO yang sebulat suara menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), sedangkan mereka sama-sama membentuk kerajaan itu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata mereka menyasarkan pemerintahan kerajaan PN bertahan hingga Parlimen dibubarkan dan itu juga pendirian UMNO sebelum ini.

Katanya, walaupun PAS tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam parti lain, namun sebagai rakan, pihaknya perlu tahu hala tuju yang mahu dibawa selepas ini.

"Kerajaan PN adalah kerajaan yang terbaik dan soal kelemahan, semua pihak mempunyai kelemahan. Apa yang penting bagaimana kita mahu menguruskannya.

"Perbincangan biasa (dengan UMNO) kita tetap buat dan ada menghubungi mereka selain Muafakat Nasional (MN) masih ada. Cuma kita harap kita mampu mempertahankan kerajaan PN.

"Apapun kita menghormati hak parti politik lain," katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kolej Wadi Sofia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Air dan Alam Sekitar berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah membuat kenyataan dan ia mampu menenangkan keadaan.

Katanya, selepas disemak, Muhyiddin masih mempunyai majoriti dan sekiranya ada pihak mendakwa mereka mempunyai majoriti, boleh kemukakan di Parlimen pada September ini.

"Pada 6 September akan ada sidang Parlimen titah Yang di-Pertuan Agong dan pada 7 September, satu usul undi percaya kepada Perdana Menteri.

"Dalam isu ini, PAS sudah mengeluarkan kenyataan menyokong kepimpinan Perdana Menteri. Isu besar sekarang adalah negara berdepan dengan Covid-19 dan kecelaruan politik akan mengganggu kelancaran untuk menangani pandemik berkenaan.

"Rakyat berdepan masalah serius ekonomi dan keutamaan kerajaan adalah menyelesaikan pemberian vaksin. Sebarang dakwaan majoriti boleh kemukakan pada September," katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan seterusnya selepas pihak tersebut mendedahkan hilang kepercayaan kepada kerajaan.

"Masalah kita adalah selepas itu dan bukan hanya setakat kata hilang kepercayaan dan tidak sokong kerana tidak ada pihak (parti) yang mempunyai majoriti jika kita lihat sekarang ini.

"Sekadar mahu menggugat namun tiada penyelesaian apa selepas itu. Malah, Pilihan Raya Umum (PRU) pun semakin hampir, tidak berbaloi kita mahu tukar Perdana Menteri hanya untuk beberapa bulan sahaja.

"Sebaiknya kita beri tumpuan kepada masalah rakyat dan pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 4:23 PM