TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. FOTO NSTP
TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. FOTO NSTP
Yusmizal Dolah Aling


SEPERTI dijangka, timbul beberapa versi senarai menteri kabinet kononnya sudah diputuskan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan pembentukan kerajaan baharu Ahad lalu.

Berlegar menerusi media sosial ketika ini ialah senarai wakil rakyat yang dikatakan bakal dilantik menteri dan timbalan menteri membabitkan parti gabungan Umno, PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ia rancak ditularkan menerusi pelbagai kumpulan WhatsApp sehingga menimbulkan tanda tanya orang ramai apakah benar senarai berkenaan yang dikatakan diperoleh daripada sumber dalaman pejabat Perdana Menteri sendiri.

Mengulas mengenainya, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, senarai berkenaan tidak betul dan menasihatkan semua pihak menunggu pengumuman rasmi yang akan dibuat Perdana Menteri.

“Senarai itu tidak betul. tunggu pengumuman rasmi,” katanya kepada Harian Metro.

Bagi Ahli Parlimen Pendang, Awang Solahudin Hashim berkata, dia sendiri belum menerima makluman rasmi daripada mana-mana pihak berhubung pelantikannya sebagai anggota kabinet dan menyifatkan itu sebagai ‘kerja nakal’ pihak yang kurang senang dengan keutuhan Muafakat Nasional.

Katanya, pihaknya maklum mengenai beberapa senarai kabinet yang ditularkan di media sosial dan dirinya juga tersenarai sebagai ‘menteri’ di beberapa kementerian.

“Ada yang kata jaga Kementerian Sumber Manusia, ada yang kata jaga pertanian dan macam-macam lagi. Itu semua spekulasi, tak betul.

“Saya rasa tujuannya untuk melaga-lagakan kami yang kini berada bersama kerajaan. Saya sendiri tidak kisah, ada (lantik) atau tak ada (tidak dilantik), itu tidak apa. Yang penting kita boleh bawa suara rakyat,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang turut berada di dalam senarai sebagai Menteri Industri Utama, berkata, hak untuk melantik mana-mana wakil rakyat menganggotai kabinet adalah hak prerogatif Perdana Menteri dan rakyat tidak perlu percaya kepada mesej yang tular.

Katanya, selain itu, mana-mana wakil rakyat UMNO adalah tertakluk kepada cadangan presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan setakat yang diketahui ia belum diputuskan.

“Sesiapa pun boleh tularkan, saya pun boleh. Tapi akhirnya terpulang kepada Perdana Menteri. Macam saya, kena tunggu presiden (Ahmad Zahid) dulu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 4:38 PM