Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 18 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram hampir RM6 juta, tahun lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

"Tidak bersalah, mohon dibicarakan," katanya.

Wan Saiful atau nama sebenarnya Wan Saifulruddin Wan Jan, 48, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

WAN Saiful di Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
WAN Saiful di Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah

Berdasarkan pertuduhan, Wan Saiful didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara pra kelayakan bernilai RM232 juta di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, April tahun lalu.

Dia juga juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd.

Ia sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima projek sama di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, di sini, antara 8 Julai hingga 30 September 2022.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 11:01 AM