CHANG melawat gerai pameran selepas Majlis Penutupan Program NGO@Makerthon di Dewan Komuniti Kampung Muhibbah, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
CHANG melawat gerai pameran selepas Majlis Penutupan Program NGO@Makerthon di Dewan Komuniti Kampung Muhibbah, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) tidak akan menghentikan pengoperasian syarikat pemprosesan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas).

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, syarikat itu bagaimanapun hanya tidak dibenarkan menjalankan operasi 'cracking and leaching' (C&L) di negara ini.

Chang berkata, Lynas sudah menerima dengan baik keputusan itu dan syarat yang dipersetujui bersama.

"Industri nadir bumi penting untuk negara dan setakat ini kita tak dengar apa-apa (Lynas ditutup dan keluar dari Malaysia)

"Pelan mereka di Kalgoorlie dekat barat Australia juga hampir siap dan lanjutan tempoh (operasi) ambil kira sekiranya (pelan) tak siap sebelum Julai.

"Rayuan yang ditolak pula ambil kira semua aspek. Itu keputusan dibuat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program NGO@Makerthon di Kompleks Komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai gesaan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Lau Chin Kok yang menuntut mana-mana pemimpin politik yang sebelum ini lantang membantah operasi Lynas untuk memohon maaf secara terbuka, Chang menyifatkan ia tiada kaitan dengan isu sekarang.

"Saya rasa isu itu tidak wujud sebab pada masa dulu apabila ada kempen anti Lynas, itu adalah satu kempen yang besar.

"Jadi tak mungkin ada seorang ahli politik yang tidak mempunyai pendirian tersendiri.

"Saya rasa keputusan pada hari ini tiada kena mengena dengan kempen pada masa hari itu, jadi saya tidak nampak kaitan itu," katanya.

Semalam, Chang dalam satu kenyataan memaklumkan rayuan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen yang ditetapkan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) ditolak.

Beliau memutuskan untuk menolak rayuan Lynas itu selepas satu sesi pendengaran diadakan pada 28 April lalu bagi mendengar rayuan Lynas berhubung keputusan AELB itu.

Bagaimanapun, beliau bersetuju untuk melanjutkan tempoh operasi kilang (C&L) Lynas sehingga 31 Disember ini selepas mengambil kira kesan keputusan terhadap rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global.

Justeru, berkuat kuasa 1 Januari tahun depan, Lynas perlu memastikan loji C&L di luar negara mula beroperasi dan Lynas tidak lagi dibenarkan untuk mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 1:57 PM