SAIFUDDIN bersama Andansura (kanan) ketika sidang media di Majlis Jamuan Aidilfitri Keluarga PN Indera Mahkota. FOTO Khairulmizan Yahya
SAIFUDDIN bersama Andansura (kanan) ketika sidang media di Majlis Jamuan Aidilfitri Keluarga PN Indera Mahkota. FOTO Khairulmizan Yahya
Khairulmizan Yahya

Kuantan: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Andansura Rabu mempertikaikan keputusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) menolak rayuan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) kerana didakwa tidak berdasarkan data dan fakta.

Andansura berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada persepsi, emosi serta bermotifkan politik.

"Justeru, kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) digesa mempertimbangkan semula keputusan terbabit dengan menyemak kepada data dan fakta tepat berhubung pengoperasian Lynas.

"Beri keadilan kepada Lynas, mereka sudah lama membawa perniagaan di sini (melabur) dan hampir RM3 bilion (nilai pelaburan), keputusan yang diambil (Mosti) beri kesan kepada pelabur lain serta keyakinan mereka terjejas.

"Kalau betul Lynas boleh mencemarkan alam sekitar dan menjejaskan kesihatan, kita setuju tindakan diambil. Namun setakat 12 tahun (Lynas) beroperasi tidak ada (satu pun kes). Data boleh diteliti di beberapa laman sesawang JAS (Jabatan Alam Sekitar) ada, AELB dan kesihatan kerana ia disiarkan secara umum.

"Malah, pekerja mereka (Lynas) tiada seorang pun yang sakit terkesan daripada (aktiviti) yang mereka jalankan," katanya ketika ditemui media di Jamuan Aidilfitri Keluarga Perikatan Nasional (PN) Indera Mahkota, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Andansura berkata, keputusan itu dilihat berkisar mengenai persepsi semata-mata malah kerajaan dilihat seolah-olah menolak fakta dan data sebelum ini.

"Kita lihat keputusan Mosti hanya kepada cerita 15 tahun dulu, banyak persepsi yang dibawa (pada ketika itu).

"Jadi kita perlu tukar perkara itu melihat data dan fakta pengoperasian Lynas sepanjang 12 tahun ini.

"Soal keselamatan tidak boleh dikompromi dan tidak boleh diambil ringan, kalau betul operasi ini mencemarkan dan menjejaskan kesihatan dan sebagainya, kita bersetuju jika tindakan diambil terhadap kilang," katanya.

Terdahulu, AELB menolak permohonan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen berkaitan pengurusan sisa Water Leach Purification (WLP) selepas Julai 2023, aktiviti cracking and leaching' (C&L) di Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) dan pengimportan pekatan lantanid dari Australia.

Pada 8 Mei lalu terdapat laporan menyatakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang bersetuju melanjutkan tempoh operasi C&L sehingga 31 Disember selepas mengambil kira kesan keputusan terhadap rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global.

Ini bermakna mulai 1 Januari 2024, Lynas perlu memastikan loji C&L di luar negara mula beroperasi dan tidak lagi dibenarkan untuk mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 1:09 PM