Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kerajaan mengesahkan bahawa keputusan memberikan lanjutan tempoh operasi selama enam bulan kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) adalah muktamad dan tidak boleh diubah lagi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Chang Lih Kang berkata pada 17 Mei 2022 Lynas sudah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Tenaga Atom (JTA) dan Menteri Mosti ketika itu untuk menggugurkan empat syarat lesen LPTA/A/1333.

Katanya, ia berkaitan pengurusan residu 'water leach purification' (WLP) dan aktiviti loji pemecahan dan peresapan (C&L) di Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) Gebeng.

"Permohonan berkenaan sudah dibawa untuk pertimbangan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB). Pada 13 Februari lalu, AELB menolak permohonan berkenaan.

"Rayuan yang dikemukakan Lynas pada 28 April adalah dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 32, Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).

"Dengan kuasa yang diberikan kepada Menteri Mosti di bawah seksyen yang sama juga, keputusan ke atas rayuan sudah dibuat pada 5 Mei dan disampaikan kepada Lynas.

"Mengambil kira kesan keputusan ini terhadap rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global, Mosti bersetuju untuk melanjutkan tempoh aktiviti C&L di LAMP, Gebeng sehingga 31 Disember ini," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) asas rayuan yang dikemukakan oleh Lynas terhadap terma lesen operasi yang dipersetujui sebelum ini, dan keputusan kementerian serta rasional terhadap rayuan.

Chang berkata, apabila pertama kali empat syarat dikenakan pada 2020, Lynas tidak mengemukakan sebarang rayuan dalam tempoh 30 hari seperti termaktub dalam Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.

"Memang tidak ada sebarang rayuan dikemukakan (Lynas) dalam tempoh 30 hari pada waktu itu. (soalan) kenapa kita berikan lanjutan enam bulan kerana kita dimaklumkan bahawa fasiliti loji pemecahan dan peresapan di Australia tidak dapat disiapkan semasa Julai tahun ini.

"Jadi mengambil kira rantaian global supaya tidak terjejas maka kita ambil keputusan diberikan lanjutan enam bulan lagi.

"Tetapi lanjutan ini adalah muktamad. Mengikut Seksyen 32(5) Akta Perlesenan Tenaga Atom, bahawa keputusan itu adalah muktamad dan tidak boleh diubah lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 12:19 PM