Siti Aminah Mohd Yusof

Bayan Lepas: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar meluahkan rasa terkejut apabila beliau dikatakan menumpang populariti Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Mahfuz menyifatkan tindak-tanduk Ahli Dewan Undangan (Adun) Jeneri itu tidak ubah seperti watak komedi terkenal antarabangsa, Mr Bean yang dilakonkan aktor, Rowan Atkinson.

"Saya pun terkejut. Bila pula saya tumpang populariti dia? Tapi saya akui dia sangat popular seperti 'Mr Bean'.

"Mr Bean sangat popular dengan lawak jenakanya jadi dia (Muhammad Sanusi) boleh menyanyi, dia sangat popular dan kelakar seperti 'Mr Bean'," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Rahmah Aidilfitri anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) di Teluk Kumbar, hari ini.

Mahfuz berkata demikian mengulas kenyataan Muhammad Sanusi yang mendakwa bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu cuba menumpang populariti melalui kes saman fitnah ke atas beliau.

Semalam, Muhammad Sanusi dilaporkan sudah menyerahkan wang kepada peguamnya pada minggu lalu untuk membayar saman fitnah terhadap Mahfuz.

Sebelum itu, media melaporkan Menteri Besar Kedah itu diminta segera menyelesaikan saman fitnah sebanyak RM120,000 berserta kos tambahan atau notis kebankrapan bakal difailkan ke atas beliau.

Mahfuz berkata, setakat kini, beliau atau peguamnya masih belum menerima apa-apa bayaran kes saman fitnah itu daripada Muhammad Sanusi.

"Kalau dia nak bagi (bayaran saman) kepada peguam atau beri terus kepada saya daripada awal dia boleh bagi.

"Tetapi sehingga kini wang berkenaan masih belum saya terima dan peguam saya juga belum terima," katanya.

MAHFUZ menjawab soalan media ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Rahmah Aidilfitri di Pasar dan Kompleks Makanan Teluk Kumbar Height, Bayan Lepas di sini hari ini. FOTO Mikail Ong
MAHFUZ menjawab soalan media ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Rahmah Aidilfitri di Pasar dan Kompleks Makanan Teluk Kumbar Height, Bayan Lepas di sini hari ini. FOTO Mikail Ong

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 6:09 PM