FAHMI ketika sidang media di Majlis Raya Fluencer 2023 yang diadakan di perkarangan Muzium Telekom. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
FAHMI ketika sidang media di Majlis Raya Fluencer 2023 yang diadakan di perkarangan Muzium Telekom. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berpandangan bahawa terdapat keperluan untuk beberapa syarikat penyedia perkhidmatan platform media sosial untuk berpangkalan di Malaysia.

Menurutnya, cadangan itu bagi memudahkan urusan perbincangan dengan syarikat terbabit termasuk dalam isu mengatasi masalah penipuan di media sosial.

"Sebelum ini isu iklan penipuan perkhidmatan mencuci rumah serta penipuan membabitkan jualan kereta dan barangan lain seakan-akan tidak ada maklum balas daripada pihak Meta.

"Kita akan jemput pihak Meta untuk bertemu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan cuba memahami kenapa mereka begitu lambat mengenal pasti penipuan berlaku.

"Ini antara sebab saya mengarahkan Pengerusi SKMM untuk memanggil pihak Meta. Saya rasa mungkin ada keperluan untuk kita teliti kewajaran untuk beberapa syarikat penyedia perkhidmatan platform media sosial ini untuk berpangkalan di Malaysia supaya mudah (untuk berurusan)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Ramah Mesra bersama Pengguna Media Sosial di Muzium Telekom, di sini, hari ini.

Fahmi berkata, ketika ini, penyedia perkhidmatan itu wujud di negara ini, tetapi tidak ada pangkalan atau pejabat di Malaysia.

"Ia sedikit menyukarkan. Ini antara perkara kita mahu tegaskan kerana saya percaya keberadaan wakil mereka di Malaysia akan memudahkan (urusan).

"Jika tidak kita kena tunggu, maka itu menyukarkan terutama ketika mahu menangani masalah penipuan seperti ini," katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan perkara itu, beliau berkata, pihaknya mahu mengadakan pertemuan terlebih dahulu dengan pihak berkenaan sebelum sebarang keputusan diumumkan oleh SKMM nanti.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pihaknya berdepan masalah menyekat operasi perjudian dalam talian kerana sindiket berkenaan akan membuka platform lain.

"Masalah judi dalam talian adalah apabila kita tutup satu, mereka buka lagi yang lain dan ini adalah perkara yang kita sedang teliti termasuk kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama SKMM.

"Kita lihat mungkin kita perlu teliti cara berbeza untuk atasi masalah ini memandangkan sindiket (perjudian dalam talian) menggunakan beberapa cara selain laman sesawang.

"Ada yang menggunakan aplikasi selain 'menyamar' iaitu apabila kita lihat dari luar seperti aplikasi biasa tetapi sebenarnya di sebalik aplikasi itu ada elemen perjudian yang tidak dilesenkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 8:33 PM