GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta beberapa agensi lain akan mengadakan pertemuan dengan penyedia platform Meta pada Isnin depan bagi membincangkan aspek keselamatan dalam talian.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata antara perkara yang akan dibangkitkan ialah tindakan beberapa pihak menyalahgunakan platform disediakan Meta seperti Facebook untuk memesongkan fakta dan menyebar maklumat serta berita palsu.

Beliau berkata, sejak semalam, pihaknya mendapati wujud siri mesej yang tersusun dan tindakan dimulakan oleh beberapa watak atau pihak khususnya di Facebook yang melontarkan tuduhan dangkal serta jahat dengan mendakwa tahun ini tidak ada Majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

"Saya dah mengarahkan pihak SKMM meneliti dan mengenal pasti semua yang terlibat bersekongkol dalam operasi ini dan kita akan ambil beberapa tindakan bersesuaian dan tegas memandangkan ada pihak-pihak tertentu yang cuba memesong fakta yang sebenarnya sangat mudah untuk kita sahkan.

"...hanya dengan melakukan carian dalam google dan kita boleh dapat maklumat itu," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet hari ini.

Fahmi berkata, pihaknya juga akan membangkitkan isu pembukaan akaun media sosial oleh kanak-kanak berusia bawah 13 tahun di platform tertentu.

"Kanak-Kanak di bawah usia 13 tahun tidak patut dan tidak boleh mempunyai akaun di Facebook, Instagram, WhatsApp, X, TikTok dan sebagainya tetapi semua platform pada waktu ini tidak memberi penegasan melalui mekanisme yang ketat bagi menghalang mereka daripada membuka akaun di platform terbabit.

"Ini antara perkara yang memang menjadi topik atau agenda dalam perbincangan yang akan diadakan nanti," katanya.

Beliau juga berkata sekiranya pihak Meta enggan bekerjasama, kementerian akan mengambil beberapa tindakan terhadap penyedia platform itu dan pihak yang bersekongkol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 5:17 PM