Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tidak berhasrat menganjurkan rumah terbuka sempena Aidilfitri susulan peningkatan harga barang dan faktor lain termasuk ketidaktentuan ekonomi.

Itu pendirian 85.3 peratus atau 1,712 pengguna Facebook (FB) yang menyertai undian maya dibuat Harian Metro sejak semalam hingga 3.30 petang tadi, mengenai penganjuran rumah terbuka Aidilfitri.

Trend sama turut ditunjukkan pengguna Instagram (IG) dengan 74 peratus bersetuju untuk tidak mengadakan rumah terbuka dan 76 peratus lagi di Twitter.

Hanya kurang 30 peratus orang masing-masing di IG dan Twitter yang berhasrat mengadakan rumah terbuka, manakala 14.7 peratus di FB.

Bagi mereka yang memilih mengadakan rumah terbuka, kebanyakannya memberitahu menyediakan juadah untuk tetamu mengikut kemampuan poket dan lebih senang memasak sendiri.

Seorang daripadanya, Nora Shikin Salleh, 53, berkata, dia hanya membelanjakan RM300 untuk hidangan nasi himpit, kuah kacang, mihun soto dan sate yang kesemuanya disediakan sendiri.

"Rumah terbuka saya pada 30 April lalu sebenarnya untuk memenuhi permintaan jiran dan rakan terdekat yang mahu bertandang, tetapi akhirnya saya jemput juga rakan lain.

"Alhamdulillah tahun ini walaupun rasa macam tak cukup dengan (belanja serentak) anak naik sekolah, puasa dan raya, Allah cukupkan rezeki kami untuk menjamu jiran dan kawan bersama keluarga mereka.

"Saya bukan orang senang, jadi awal-awal lagi saya fikirkan menu yang tidak perlu berbelanja lebih daripada bajet dan menu itu boleh dipelbagaikan seperti nasi himpit yang boleh dimakan dengan kuah kacang dan juga bersama soto," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dengan bantuan suaminya, mereka menyediakan semua juadah itu yang cukup untuk menjamu tetamu bertandang mulai selepas Asar hingga 12 tengah malam.

Meninjau di ruangan komen platform media sosial Harian Metro, pengguna berkongsi cara dan idea mereka untuk menjimatkan kos ketika mengadakan rumah terbuka tahun ini, antaranya, Brynnz Hasz yang mencadangkan kaedah potluck. "Setiap tetamu bawa sepinggan (makanan). Kalau yang malas masak, boleh belikan kek, piza, minuman atau kuih muih asalkan datang bukan tangan kosong. Cara ini tidak membebankan tuan rumah. Silaturrahim pun dapat dijaga, boleh merasa

masakan masing-masing atau berkongsi resipi serta kenangan manis ini dapat diabadikan," katanya.

Syaziera Ziera Jb pula memberitahu memasak sendiri dengan dengan menyediakan menu ringkas dan mudah iaitu lontong dan ayam masak merah serta menyajikan kuih raya.

Bagi pemilik akaun Takdir Penentu Segala, dia menghidangkan 20 jenis air balang dengan makanan ringan bagi menjamu tetamunya pada rumah terbuka.

"Makanan simple saja macam kuih muih, sate lokcing dan lain-lain. Tapi yang jelas air 20 balang itu yang habis dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 6:14 PM