Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Perpaduan pimpinannya mahu segera membawa pulang ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low ke negara ini secepat mungkin.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengakui untuk membawa Jho Low ke negara ini membabitkan proses yang rumit.

"Ia membabitkan banyak negara, membabitkan agensi perisikan, Polis Antarabangsa (Interpol) dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-75 dan Perasmian Ibu Pejabat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) di sini, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, Notis Merah yang dikeluarkan Interpol terhadap Jho Low masih aktif.

Notis itu turut membabitkan lima individu lain yang terbabit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, individu itu adalah Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Jasmine Loo, Eric Tan Kim Loong dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Pada 20 April lalu, Bradley Hope, pengarang bersama buku 'Billion Dollar Whale' yang mengisahkan mengenai 1MDB memetik sumber dilaporkan berkata, kerajaan Malaysia dipercayai sudah berunding dengan China berhubung ekstradisi Jho Low.

Hope berkata, rancangan sedemikian sedang dibincangkan dalam kerajaan berikutan lawatan Anwar ke China sebelum ini.

Dalam pada itu, Anwar enggan mengesahkan sama ada Jho Low berada di China.

"Kita tak pernah sahkan dia di mana. Kita berunding dengan negara-negara untuk mempercepatkan proses itu," katanya.

ANWAR melakukan pemeriksaan perbarisan pada majlis Pelancaran Sambutan Ulangtahun ke-75 dan Perasmian Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia di Lengkok Belfield Off Jalan Wisma Putra, Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
ANWAR melakukan pemeriksaan perbarisan pada majlis Pelancaran Sambutan Ulangtahun ke-75 dan Perasmian Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia di Lengkok Belfield Off Jalan Wisma Putra, Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 12:43 PM