Anggota KPDN Negeri Perlis menyerbu sebuah kawasan tanah lapang, Jalan Wang Kelian, Padang Besar dan merampas diesel yang cuba diseleweng kepada kenderaan Thailand. FOTO IHSAN KPDN PERLIS
Anggota KPDN Negeri Perlis menyerbu sebuah kawasan tanah lapang, Jalan Wang Kelian, Padang Besar dan merampas diesel yang cuba diseleweng kepada kenderaan Thailand. FOTO IHSAN KPDN PERLIS
Oleh Aizat Sharif


Padang Besar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 1,150 liter petrol dan diesel bersubsidi bernilai RM13,457.50 pada dua serbuan di sebuah kawasan lapang di Jalan Wang Kelian di sini, jam 11.15 pagi semalam.

Pengarah KPDN Perlis Norazah Jaapar berkata, pada Op Tiris itu juga, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan kes penyelewengan bahan api berkenaan.

"Pada serbuan di lokasi pertama, kami mendapati, pekerja sindiket sedang menyedut diesel daripada tangki tambahan kereta menggunakan pam penyedut.

"Pemeriksaan lanjut menemukan kira-kira 1,000 liter diesel bernilai RM7,850," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, remaja terbabit juga mengaku bekerja untuk sindiket terbabit.

Norazah berkata, pada serbuan di lokasi kedua, pihaknya menemukan 150 liter petrol serta sebuah kereta yang dilengkapi tangki minyak tambahan dengan nilai rampasan kira-kira RM5,607.50.

"Taktik digunakan sindiket ialah, sindiket akan menggunakan kereta bernombor pendaftaran tempatan untuk mengisi bahan api itu di beberapa stesen minyak.

"Bahan api itu kemudian dibawa ke kedua-dua lokasi serbuan sebelum dijual kepada kenderaan berpendaftaran Thailand," katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 2:08 PM