Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini membuat permohonan maaf kepada Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berhubung fitnah dilakukannya terhadap bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu empat tahun lalu.

Permohonan maaf itu dibuat Muhammad Sanusi menerusi laman Facebooknya pagi ini iaitu platform sama digunakannya untuk memuat naik kenyataan yang didakwa berunsur fitnah berkenaan.

Muhammad Sanusi berkata kenyataan maaf itu dibuat berdasarkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 8 November 2021.

"Pada 30 Julai 2019, saya telah membuat satu hantaran di Facebook ini menyentuh isu perpindahan premis judi dari Alor Setar ke Pokok Sena.

"Saya telah menyatakan bahawa pemimpin AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) yang merupakan kerajaan memerintah ketika itu telah pudar sensitivitinya kerana perpindahan premis berkenaan berlaku ke kawasan majoriti Islam di Kedah tanpa sebarang halangan sehingga isu itu ditimbulkan masyarakat setempat dan saya, empat bulan selepas kelulusan diberikan Kementerian Kewangan," katanya.

Muhammad Sanusi berkata berikutan saman fitnah difailkan Mahfuz berkaitan hantaran Facebook berkenaan, Mahkamah Tinggi pada 8 November 2021 serta Mahkamah Rayuan pada 3 April 2023 memutuskan bahawa hantaran itu merupakan satu fitnah terhadap Mahfuz dan beliau diperintahkan memohon maaf

"Oleh yang demikian, saya dengan ini memohon maaf kepada Mahfuz Omar atas kenyataan yang dibuat di dalam hantaran FB tersebut," katanya.

Pada 6 Mei lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan Muhammad Sanusi sudah menyerahkan wang kepada peguamnya minggu lalu untuk membayar saman fitnah terhadap Mahfuz.

Pada 9 Oktober 2019, Mahfuz memfailkan saman berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebooknya pada 30 Julai tahun sama mengaitkan beliau dalam isu pemindahan premis judi ke kawasan itu.

Pada 3 April lalu, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah kes itu, selain Mahfuz memohon untuk menaikkan saman terbabit daripada RM50,000 kepada RM120,000 selain perlu membuat permohonan maaf.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 2:39 PM