Nazdy Harun

Kuala Berang: Fenomena cuaca panas yang berlaku antara Mac hingga Jun menjadi waktu kritikal bagi penternak ikan sangkar di pesisir sungai Kampung Pantai Ali, dekat sini, berikutan berlaku kematian ikan.

Ketua kelompok, Zakaria Ismail, 66, berkata seramai 27 peserta menternak ikan air tawar di kawasan Sungai Telemong itu dengan jumlah keseluruhan 250 buah sangkar.

Menurutnya, paras sungai surut sebanyak tiga meter mengakibatkan kekurangan oksigen di dalam sangkar hingga menyebabkan berlakunya kematian ikan.

"Biasanya ikan besar yang beratnya 500 hingga 600 gram ke atas berdepan masalah kematian kerana tidak mendapat bekalan oksigen secukupnya.

"Apabila tiba waktu puncak, setiap sangkar akan berlaku kematian ikan antara tujuh hingga 15 ekor.

"Sekiranya paras air sungai semakin surut, risiko untuk ikan mati semakin tinggi kerana bekalan oksigen di dalam sangkar akan berkurangan," katanya.

PEKERJA sedang membersihkan jaring pada sangkar bagi membolehkan arus bergerak melalui sangkar dengan baik bagi membekalkan oksigen pada ikan ketika musim panas membahang. FOTO Nazdy Harun
PEKERJA sedang membersihkan jaring pada sangkar bagi membolehkan arus bergerak melalui sangkar dengan baik bagi membekalkan oksigen pada ikan ketika musim panas membahang. FOTO Nazdy Harun

Menurutnya, benih ikan tidak menerima impak akibat cuaca panas berikutan tidak memerlukan oksigen yang banyak berbanding ikan-ikan yang sudah besar.

"Aliran air yang sempurna pada musim panas dapat membekalkan oksigen yang baik kepada ikan-ikan di dalam sangkar, namun cuaca panas melampau masih mengakibatkan berlaku kematian ikan," katanya.

Peserta, Abdul Aziz Mamat, 34, berkata cuaca panas mengakibatkan berlaku kematian ikan yang berada di dalam sangkar.

"Walaupun dilihat jumlah kematian ikan sedikit, tetapi jika dikira dengan jumlah sangkar yang melebihi 200 unit maka jumlah kematian setiap musim panas boleh dikatakan agak banyak.

"Namun, penternak sudah arif mengenai perubahan cuaca yang mengakibatkan berlaku kematian ikan kerana saban tahun melaluinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 1:50 PM