Samadi Ahmad

Putrajaya: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menyerap secara one off kira-kira 30,000 kakitangan kontrak yang sudah berkhidmat 10 hingga 15 tahun ke jawatan tetap dalam sektor awam.

Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya menerima aduan dari kakitangan kontrak berkenaan isu itu dan ia sudah pun dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurutnya, suatu dasar berhubung kakitangan kontrak sudah diluluskan Kerajaan bagi membolehkan mereka diberi jawatan tetap apabila sudah berkhidmat 15 tahun ke atas.

"Cuma agak malang hari ini sebahagian daripada pekerja yang melangkaui 10 tahun berkhidmat secara tiba-tiba tidak disambung dan ditamatkan perkhidmatan.

"Kakitangan yang ditamatkan perkhidmatan ini sebenarnya mampu untuk berkhidmat lima tahun lagi untuk diserapkan ke jawatan tetap," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Cuepacs 2023 di sini, hari ini.

Adnan berkata, Cuepacs berharap kerajaan dapat meneruskan inisiatif ini dan tidak adil sekiranya perkhidmatan mereka ditamatkan selepas 10 tahun berkhidmat sedangkan mereka ada lima tahun lagi untuk diserapkan ke jawatan tetap.

"Cuepacs juga berharap kerajaan dapat meneliti semula agar tempoh 15 tahun ini dipendekkan kepada 10 tahun bagi menyerapkan mereka ke jawatan tetap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 11:45 AM