Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Beribu pekerja kontrak yang ditamatkan perkhidmatan oleh kerajaan terdahulu perlu dibantu dan diserap semula dalam perkhidmatan kerajaan.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon pertimbangan kerajaan melantik semula semua pekerja kontrak terbabit termasuk individu yang bekerja dalam Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Seranta FELDA sebelum ini.

Presiden CUEPECS, Adnan Mat berkata, CUEPACS merayu kerajaan melihat perkara ini secara khusus dan diberikan keutamaan berikutan pekerja kontrak terbabit sudah sengsara sejak dua tahun lalu berikutan penamatan dan perubahan kerajaan.

Menurut beliau, seramai 55,000 pekerja kontrak ditamatkan perkhidmatan sebelum ini.

"Dalam masa sama, CUEPECS menyambut baik inisiatif dan bantuan khusus di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin yang diumumkan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Inisiatif itu turut membabitkan penjawat awam dalam golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan isi rumah berpendapatan pertengahan (M50).

"CUEPACS memang berhasrat untuk memohon benda yang sama, ini adalah lanjutan daripada pakej yang sudah diisytiharkan sebelum ini.

"CUEPACS mengucapkan terima kasih kerana penjawat awam juga termasuk dalam kumpulan berkenaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tri Tahunan Kesatuan Kakitangan Kumpulan Sokongan Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Perak (KESOJA) Kali-3 di Hotel Casuarina Meru di sini, tadi.

ADNAN (tiga kiri) beramah mesra bersama kakitangan pejabat agama Perak turut bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop (kiri) di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Kakitangan Kumpulan Sokongan Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Perak di Hotel Casuarina. FOTO Sharul Hafiz Zam
ADNAN (tiga kiri) beramah mesra bersama kakitangan pejabat agama Perak turut bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop (kiri) di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Kakitangan Kumpulan Sokongan Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Perak di Hotel Casuarina. FOTO Sharul Hafiz Zam

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin dan Presiden KESOJA, Hafez Rezal Abdul Manan.

Adnan berkata, pada ketika ini terdapat seramai 1.2 juta penjawat awam yang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 5:10 PM