ADNAn. FOTO Arkib NSTP
ADNAn. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

KERAJAAN digesa menyambung semula perkhidmatan kesemua 603 pekerja kontrak di agensi-agensi kerajaan yang tamat dan akan tamat tempoh kontrak.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata, pihaknya difahamkan daripada jumlah itu, 265 individu sudah tamat kontrak perkhidmatan manakala 338 orang lagi akan tamat dalam tempoh masa terdekat.

Beliau berkata Cuepacs menerima banyak aduan daripada pekerja kontrak di agensi-agensi kerajaan yang memaklumkan kebimbangan kontrak mereka tidak akan disambung walaupun mereka menunjukkan mutu kerja yang baik.

"Sehubungan itu, Cuepacs merayu kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kesemua pekerja kontrak terutamanya yang sudah ditamatkan perkhidmatan mereka sebelum ini, diambil semula bekerja, manakala mereka yang kontraknya akan tamat disambung semula," katanya tadi.

Adnan berkata pekerja kontrak juga adalah penjawat awam dan rata-rata mereka ada yang berkhidmat lima hingga sepuluh tahun, dan sepanjang perkhidmatan pelbagai peranan serta jasa dicurahkan untuk agensi tertentu, maka tidak salah jika kontrak mereka disambung lagi.

Beliau berkata pekerja-pekerja kontrak yang terbabit tidak perlu dibuang tetapi penggunaan sumber manusia perlu disusun atau dinilai semula dengan menempatkan mereka-mereka itu di kementerian atau agensi yang kritikal.

Katanya, usaha itu bukan sahaja dapat mengurangkan kadar pengangguran, malah membolehkan kementerian dan agensi yang kritikal dapat berfungsi dengan lebih baik bagi membantu kerajaan menjayakan pakej-pakej rangsangan menjana semula ekonomi negara.

"Apatah lagi negara ketika ini sudah memasuki tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), maka wajarlah kontrak mereka disambung semula bagi membantu kerajaan memberikan mutu perkhidmatan yang baik kepada rakyat serta melaksanakan pelan pemulihan ekonomi negara

"Cuepacs berharap kerajaan tidak menjadikan pekerja kontrak sebagai mangsa selepas ramai kehilangan pekerjaan dalam tempoh PKP sebelum ini... belalah nasib mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 3:18 PM