Rosli Ilham


Kemaman: Penganggur ditahan reman tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas disyaki merogol adik tiri berusia 14 tahun, dua bulan lalu.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan malam tadi.

"Penahanan itu dibuat dibuat susulan laporan dibuat mangsa mendakwa dirogol abang tiri dan bapanya yang berusia 56 tahun.

"Bagaimanapun, polis sedang giat mengesan bapanya yang juga peniaga kuih di Bandar Chukai," katanya.

Hanyan berkata, pihaknya percaya bapa mangsa melarikan diri dan bersembunyi sebaik mengetahui mangsa membuat laporan polis.

"Perbuatan terkutuk kedua-dua suspek berkenaan terbongkar selepas remaja perempuan itu mengadu kepada ibu saudaranya.

"Mangsa mengadu dia dirogol secara berasingan oleh kedua-dua suspek dan hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan koyakan pada kemaluan mangsa," katanya.

Menurutnya, ujian air kencing terhadap abang tiri mangsa mendapati negatif dadah.

SUSPEK (kepala botak) yang disyaki merogol adik tirinya dibawa ke mahkamah untuk direman. FOTO Rosli Ilham
SUSPEK (kepala botak) yang disyaki merogol adik tirinya dibawa ke mahkamah untuk direman. FOTO Rosli Ilham

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 6:23 PM