ANTARA penduduk yang berada di tanah perkuburan bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Enam, di Kampung Durian Kassim. FOTO Nazdy Harun
ANTARA penduduk yang berada di tanah perkuburan bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Enam, di Kampung Durian Kassim. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Berang: Dalam keadaan cuaca panas membahang, namun lebih 500 penduduk Kampung Durian Kassim, di sini, tidak melepaskan peluang meraikan Aidilfitri di perkarangan balai raya dan tanah perkuburan kampung berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Durian Kassim, Narasid Abu Bakar, 50, berkata suasana kemeriahan sambutan Aidilfitri seperti itu dapat dilihat di kampung berkenaan saban tahun.

Menurutnya, seawal 8 pagi penduduk kampung mula melakukan aktiviti membersihkan tanah perkuburan.

"Setiap penduduk akan membawa makanan dari rumah dan kami akan mengadakan tahlil selepas aktiviti membersihkan tanah perkuburan diikuti dengan jamuan beramai-ramai.

"Suasana seperti ini sudah dilakukan sejak lebih 50 tahun lalu dan ada perantau yang akan pulang kali kedua selepas pulang pada 1 Syawal untuk turut sama meraikan sambutan Hari Raya Enam (HRE) ini," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini

Menurutnya, tradisi seperti ini akan terus dikekalkan kerana dilihat mampu mengeratkan tali persaudaraan antara penduduk.

Katanya, bagi yang tinggal berjauhan, saat ini dinantikan kerana mereka dapat bertemu dengan seluruh kenalan dan sanak saudara.

"Uniknya apabila penduduk saling berganding bahu membersihkan tanah perkuburan dan mereka juga akan membawa juadah masing-masing untuk dinikmati bersama selepas semua kerja selesai," katanya.

Penduduk, Abdullah Sidik, 61, berkata tradisi HRE di kampung ini sudah wujud sejak dia masih kecil dan suasananya tetap meriah seperti dahulu.

Menurutnya, sambutan ini akan diadakan setiap tahun kerana ia adalah tradisi yang diwarisi daripada generasi terdahulu.

"Kami dapat bertemu dan bertanya khabar dengan jiran-jiran yang jarang pulang ke kampung pada HRE ini. Ibarat 'burung pulang ke sarang' ramai kenalan yang berhijrah mahupun perantau akan pulang untuk menziarahi pusara ahli keluarga," katanya.

Penduduk lain, Nurul Hidayah Ramli, 38, berkata sejak mendirikan rumah tangga, dia dapat merasai pengalaman menyambut HRE seperti ini.

"Saya berasal dari Kuala Terengganu, dan di kampung saya tiada sambutan HRE semeriah ini. Tradisi seperti ini harus dikekalkan kerana ia mampu mengeratkan tali persaudaraan sesama penduduk.

"Apabila semua berkumpul akan wujud satu suasana kekeluargaan besar dalam kalangan penduduk kampung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 1:26 PM