PENDUDUK Kampung Durian Kassim meraikan sambutan hari raya enam. FOTO Nazdy Harun
PENDUDUK Kampung Durian Kassim meraikan sambutan hari raya enam. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Berang: Mereka sudah pulang minggu lalu untuk menyambut Aidilfitri namun segelintir penduduk Kampung Durian Kassim, di sini, sanggup pula kali kedua bagi meraikan kemeriahan 'hari raya enam'.

Mohd Rosdi Razali, 36, berkata, dia pulang sekali lagi ke kampung untuk sama-sama menyambut hari raya enam walaupun minggu lalu sudah pulang meraikan satu Syawal.

Menurutnya, dia tidak pernah melepaskan peluang pulang menyambut hari raya enam walaupun sudah enam tahun bertugas di luar Terengganu.

Katanya, minggu lalu sehari sebelum satu Syawal, dia sudah pulang dan pada tiga Syawal dia kembali ke Temerloh, Pahang, untuk bertugas.

"Semalam saya pulang lagi ke kampung untuk sama-sama menyambut hari raya enam dan rutin itu dilakukan sejak enam tahun lalu selepas ditugaskan di luar negeri ini.

"Sebelum bekerja di Pahang, saya bertugas di Perak, namun saya tetap mengambil peluang pulang menyambut hari raya enam yang sudah menjadi tradisi di kampung ini," katanya yang bertugas sebagai kakitangan swasta.

Penduduk, Noor Lina Nambung, 41, berkata, dia mengambil keputusan tidak pulang lagi ke Shah Alam, Selangor, kerana ingin menyambut hari raya enam bersama jiran sekampung.

"Saya sudah menetap dan bekerja di Shah Alam, sudah lebih 10 tahun namun tidak melepaskan berpeluang menyambut hari raya enam di kampung.

"Kemeriahan di kampung ini agak luar biasa kerana sukar dijumpai di mana-mana kawasan lain dan saya difahamkan tradisi ini sudah menjangkau hampir 100 tahun atau lebih," katanya.

Menurutnya, hari raya enam yang disambut secara beramai-ramai membolehkan penduduk bertemu dengan mudah selain dapat mengeratkan silaturahim.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Durian Kassim, Narasid Abu Bakar, 51, berkata, tradisi menyambut hari raya enam akan dilakukan setiap tahun di kampung itu.

Menurutnya, selain membersihkan tanah perkuburan, penduduk juga turut membawa juadah dari rumah masing-masing untuk dinikmati bersama.

"Selepas gotong-royong membersihkan tanah perkuburan kami akan adakan majlis tahlil dengan diikuti jamuan raya.

"Setiap tahun sambutan ini akan diadakan kerana ia tradisi yang diwarisi daripada generasi terdahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 11:03 AM