GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Gerik: Empat remaja lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian membaling objek keras ke arah kereta bergerak di KM53, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, berhampiran Kampung Air Jada di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintendan Mohd Rahimi Zainol, berkata empat remaja itu berusia dalam lingkungan usia 15 hinga 17 tahun.

Menurutnya, suspek yang menaiki motosikal, membaling objek keras ke arah cermin kenderaan khususnya kereta yang sedang bergerak dari arah bertentangan.

"Laporan berkaitan kejadian diterima awal pagi tadi daripada mangsa yang menggunakan laluan itu daripada arah Kota Bharu, Kelantan menghala Kuala Kangsar.

"Cermin hadapan dan sisi sebelah pemandu kenderaan mangsa pecah dalam kejadian sekitar jam 4.50 pagi tadi," katanya.

Menurutnya, tiga lagi laporan diterima berkaitan kejadian sama membabitkan kenderaan berlainan yang melalui jalan berkenaan pada waktu yang sama dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM5,000.

"Hasil maklumat yang diperolehi, polis berjaya membuat tangkapan terhadap empat remaja lelaki itu," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 6:50 PM