Roselan Ab Malek


Maran: "Sekitar 1990-an, jalan sempit di Kampung Kuala Wau sesak dengan orang ramai semasa sambutan Aidilfitri namun suasana itu tidak lagi dirasai kerana banyak rumah di sini berkunci dan sebahagiannya ditinggalkan," kata penduduk, Nordin Md Atar, 59.

Menurutnya, Kampung Kuala Wau yang pernah menempatkan ribuan penduduk kini semakin sunyi dan hanya mempunyai 40 rumah namun tidak semua diduduki kerana kebanyakan generasi muda berhijrah ke tempat lain.

Nordin berkata, yang tinggal kini adalah warga emas yang kebanyakannya terikat dengan emosi tempat lahir dan masih sayang dengan kampung asal mereka.

"Saya amat merindui sambutan Aidilfitri ketika zaman remaja dulu. Kebanyakan orang yang membesar bersama saya berpindah ke tempat lain dan ada yang tinggal bersama anak serta jarang balik ke kampung ini lagi.

"Tradisi ziarah rumah ke rumah tidak seperti dulu kerana bilangan penduduk semakin berkurangan dan sambutan Aidilfitri semakin pudar," katanya.

Nordin yang tinggal bersama isteri, Norida Sulong, 57, berkata, sebelum jalan utama menghubungkan Kampung Kuala Wau dan kampung sekitarnya dibina pada 2000 penduduk bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan sungai.

"Saya ingat orang tua akan tunggu di sungai untuk anak pulang pada Aidilfitri. Anak mereka akan tiba dengan kereta akan meletakkan kenderaan di seberang sungai sebelum menyeberang menggunakan bot.

"Tebing sungai sesak dengan orang ramai, riuh rendah bercerita sambil menunggu anak-anak mereka menyeberang dengan bot," katanya.

Menurutnya, pada hari pertama Aidilfitri, penduduk bergotong-royong menyembelih haiwan ternakan dan memasak pelbagai hidangan di masjid sebelum menunaikan solat Aidilfitri dan berkumpul menikmati makanan selepas itu.

Dia berkata, tradisi memasak pada hari pertama Aidilfitri dihentikan kira-kira 25 tahun lalu kerana kekurangan tenaga kerja.

Bapa kepada empat anak yang dilahirkan di kampung itu berkata, dia tidak bercadang berpindah ke tempat lain kerana dilahirkan di sini.

NORDIN bersama Norida bergambar di hadapan rumah yang berusia lebih 80 tahun. FOTO Farizul Hafiz Awang
NORDIN bersama Norida bergambar di hadapan rumah yang berusia lebih 80 tahun. FOTO Farizul Hafiz Awang

"Setiap tahun anak-anak yang masih bujang pulang beraya tetapi tidak pasti apa akan terjadi apabila mereka berumahtangga kelak," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kuala Wau, Mohd Zurin Md Jais, 49, berkata, terdapat 180 keluarga tinggal di situ suatu ketika dulu namun kini kebanyakan rumah ditinggal kosong.

"Ada juga pemilik datang dua bulan sekali membersihkan rumah yang ditinggalkan tetapi ramai juga tidak lagi datang.

Beliau berkata, istilah balik kampung untuk anak perantauan menyambut Aidilfitri tidak lagi relevan di Kampung Kuala Wau kerana suasana itu tidak lagi berlaku.

Menurutnya, apabila tanah Rancangan Felda dibuka, ramai penduduk yang berpindah ke sana.

"Kebanyakan penduduk bekerja sebagai penoreh getah dan nelayan sungai yang bergantung harap kepada Sungai Pahang.

"Jadi generasi muda lebih gemar ke bandar untuk mencari kerja atau melanjutkan pelajaran selepas tamat tingkatan lima," katanya sambil menambah di sana hanya terdapat sebuah kedai runcit di kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 3:25 PM