DUA lelaki ditahan kerana merempit. FOTO Ihsan Polis
DUA lelaki ditahan kerana merempit. FOTO Ihsan Polis
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Dua pemuda ditahan kerana disyaki terbabit dalam lumba haram di Kilometer (KM) 59 sehingga KM 57.5 Jalan Batu Pahat-Mersing, di sini, semalam.

Dalam kejadian 3 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 19 dan 22 didapati menunggang motosikal dalam keadaan merbahaya dengan berlumba atas jalan raya sambil membuat aksi zig zag.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berikutan itu sebanyak 11 saman dikeluarkan terhadap kedua suspek atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Kedua-dua suspek ditahan Skuad 42, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dalam operasi khas bermula 11 malam hingga 4 pagi.

"Mereka ditahan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana melakukan aksi yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kedua suspek ditahan kerana tidak mempunyai lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM), nombor pendaftaran selain hiasan, cermin sisi dan brek selain mengubahsuai ekzos motosikal.

"Kedua-dua motosikal jenis Yamaha Y150Z dan Yamaha LC suspek disita di bawah Seksyen 64 (1) APJ 1987," katanya.

Beliau berkata, operasi itu dilaksanakan sembilan pegawai anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kluang susulan aduan awam.

"Ibu bapa perlu memantau anak masing-masing bagi mengelak mereka terbabit aktiviti tidak sihat yang melanggar peraturan dan undang-undang sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 4:40 PM