JHO Low.
JHO Low.
Agensi

Beijing: Pengarang buku yang juga wartawan kewangan berpangkalan di United Kingdom, Bradley Hope mendakwa, ahli perniagaan buruan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low mengawal akaun bernilai AS$333 juta (RM1.565 bilion) di sebuah syarikat di China.

Hope mendakwa Jho Low berbuat demikian menerusi syarikat di British Virgin Islands yang mempunyai pejabat di Shanghai,

Hope yang memetik kenyataan awam mendedahkan, Jinweijing Business Consulting baru-baru ini menukar pemilikan daripada JynWel, syarikat induk keluarga Low kepada entiti lain, Grace Zenith Limited.

"Jinweijing ditubuhkan oleh Low dan rakan perniagaannya, Seet Li Lin pada 2015 dan ia mempunyai pejabat di Pusat Kewangan Dunia Shanghai yang ikonik.

"Syarikat itu kemudian menukar namanya kepada Guiyue Business Consulting dengan nama Low dan Seet dikeluarkan daripada rekod," katanya.

Hope mendakwa, pemilik baharu Guiyue, Grace Zenith, membayar modal langgan AS$333 juta untuk ditempatkan dalam syarikat itu.

"Ini menunjukkan (syarikat) adalah salah satu tempat utama di mana Jho Low mempunyai wang yang berasal dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Apa Grace Zenith yang berpangkalan di British Virgin Islands lakukan dan apakah aset lain yang mungkin dimilikinya dan (adakah) syarikat itu masih beroperasi?

"Anda akan berfikir dengan penjenayah kewangan yang begitu terkenal, dunia akan sentiasa waspada terhadap sebarang potensi penyalahgunaan sistem kewangan global.

"Ini membuktikan jika anda mempunyai banyak wang dan anda membersihkannya pada tahap yang tinggi, anda tidak boleh disentuh," katanya pada program atas talian berjudul Where is Jho Low? (Di mana Jho Low?)

Hope berkata, dia memulakan carian mengenai Low di media sosial pada Ogos lalu.

Low yang didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat atas dakwaan sebagai dalang kecurian dana 1MDB bernilai AS$4.5 bilion (RM21.16 bilion) dipercayai berada di Macau, walaupun Beijing menafikan melindungi ahli perniagaan itu.

Buku Hope, berjudul The Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood and the World, yang ditulisnya bersama Tom Wright, mengisahkan skandal rasuah 1MDB, yang juga menggambarkan Low sebagai dalang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 11:16 AM