Zaid Salim


Kuala Terengganu: Ada peniaga Bazar Aidilfitri di negeri ini membuat jualan 'gila-gila' apabila menawarkan harga tidak masuk akal kepada pengunjung.

Jualan lelong bagi mengosongkan premis itu dilakukan susulan penetapan kerajaan negeri yang menetapkan waktu jualan yang dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam ini sahaja.

Tinjauan di bazar Aidilfitri Dataran Shahbandar, di sini, mendapati orang ramai membanjiri perkarangan bazar bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan Aidilfitri seperti baju, seluar, kasut, songkok, jam tangan dan songket selain biskut raya yang ditawarkan dengan harga gila-gila.

Ada juga peniaga yang menawarkan harga serendah 50 sen untuk sehelai baju kanak-kanak, jam tangan kanak-kanak dan beg tangan wanita berharga RM1 kepada pengunjung yang bertuah.

Selain itu, peniaga kuih dan biskut raya pula menawarkan harga lelong RM100 bagi lapan bekas kuih dan biskut raya.

Pengunjung, Nurul Fatin Adriana Hamzah, 23, berkata, setiap tahun dia akan datang ke Bazar Aidilfitri Shahbandar bagi mendapatkan pelbagai barangan yang dijual harga lelong.

"Persiapan Hari Raya untuk diri sendiri seperti pakaian sudah dibeli awal-awal lagi. Malam ini saya bersama adik beradik datang untuk mencari biskut raya.

"Setiap tahun saya dan adik beradik akan ke sini (Shahbandar) pada malam raya tetapi tahun ini disebabkan kerajaan memutuskan jualan Bazar Aidilfitri hanya dibenarkan sehingga sehari sebelum Aidilfitri, jadi kami datang malam ini untuk membeli barangan pada harga murah," katanya yang tinggal di Panji Alam, di sini.

Kerajaan negeri sebelum ini menetapkan operasi Bazar Aidilfitri hanya dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam 29 Ramadan iiaitu sehari sebelum Hari Raya bagi memberi laluan kepada pekerja kebersihan membersihkan sampah sarap di kawasan bazar menjelang Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 11:40 PM
PENGUNJUNG membanjiri Bazar Aidilfitri Shahbandar, Kuala Terengganu bagi mendapatkan pelbagai barang dengan harga lelong. FOTO Zaid Salim
PENGUNJUNG membanjiri Bazar Aidilfitri Shahbandar, Kuala Terengganu bagi mendapatkan pelbagai barang dengan harga lelong. FOTO Zaid Salim