MUHYIDDIN Yassin. FOTO arkib NSTP
MUHYIDDIN Yassin. FOTO arkib NSTP
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman fitnah difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi, di sini, kelmarin.

Anwar memfailkan saman terhadap Muhyiddin berhubung kenyataan fitnah yang mendakwa beliau menerima bayaran RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dalam satu ceramah ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Peguam Anwar, Datuk S N Nair berkata, anak guamnya diarahkan untuk memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan itu pada 16 Februari ini.

"Mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 23 Februari ini secara dalam talian di hadapan Penolong Pendaftar, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar," katanya ketika dihubungi media selepas pengurusan kes itu di hadapan penolong pendaftar sama, hari ini.

Selain Nair, Anwar selaku plaintif diwakili peguam Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin, manakala Muhyiddin sebagai defendan diwakili peguam, Chetan Lachman Jethwani.

Pada 20 Disember lalu, tuntutan saman itu difailkan Anwar di Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan penyataan tuntutan, Anwar mendakwa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah di 'Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai' di Taman Selasih, Kulim sewaktu kempen PRU-15 pada 5 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 5:41 PM