JAWAHAR Ali (kiri) bersama penerima terawal beras percuma di Madrasathul Faridiyah di ibu negara. FOTO Ihsan pembaca.
JAWAHAR Ali (kiri) bersama penerima terawal beras percuma di Madrasathul Faridiyah di ibu negara. FOTO Ihsan pembaca.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Walaupun sudah banyak kali ambil bantuan di sini, saya tak rasa malu kerana menganggapnya ini sebagai satu rezeki," kata Abd Samat Yutar.

Warga emas berusia 78 tahun itu adalah salah seorang penerima bantuan beras percuma anjuran Madrasathul Faridiyah di ibu negara hari ini.

Dia yang menunggu seawal jam 8 pagi berkata, setiap tahun dia akan menerima bantuan anjuran maahad itu sejak 1990-an bersama penerima yang lain.

"Ini pun saya dimaklumkan seorang rakan. Minggu lalu saya datang ke sini untuk terima sumbangan hari raya dan berbuka puasa.

"Alhamdulillah, ada rezeki untuk keluarga. Terima kasih kerana sudi bagi beras ini," katanya kepada Harian Metro.

Seorang lagi penerima, Salimah Ismail, 47, berkata, dia mencuba nasib untuk mengambil beras percuma itu selepas diberitahu saudara mara.

Katanya, ia amat bermakna kerana keluarganya hilang punca pendapatan selepas suaminya hilang pekerjaan akibat Covid-19 sebelum ini.

"Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak. Dapat sekampit pun sudah syukur sangat," katanya.

Sementara itu Pengerusi Madrasathul Faridiyah, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, bagi memudahkan penerima, pihaknya proses agihan dibuat secara pandu lalu.

Katanya, sejumlah 3,150 kampit beras hasil sumbangan rakan-rakan strategik akan diagihkan sehingga menjelang Aidilfitri dan ia terbuka kepada semua.

"Kita juga agihkan 240 kilogram kepada Kolej Islam Antarabangsa (IIC) sempena program Dapur Rahmah.

"Difahamkan, jumlah berkenaan cukup untuk menampung makanan kepada penuntut di situ sehingga Jun nanti," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan terus mengagihkan barangan keperluan kepada penduduk di sekitar Wangsa Maju terutama golongan asnaf sebagai tanggungjawab sosial korporat untuk berkongsi rezeki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 5:58 PM