JAWAHAR Ali (tengah) melihat sukarelawan mendaftar penerima bantuan. FOTO Ihsan pembaca
JAWAHAR Ali (tengah) melihat sukarelawan mendaftar penerima bantuan. FOTO Ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Hujan sejak awal pagi di ibu negara, hari ini tidak menghalang lebih 1,500 orang hadir untuk mendapatkan borang bantuan sempena Aidilfitri bagi menerima sumbangan pada Sabtu ini.

Kebanyakan mereka adalah individu sama yang menerima bantuan berupa keperluan harian itu sejak beberapa tahun lalu anjuran Maahad Tahfiz Madrasathul Faridiyah dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).

Kebanyakan mereka adalah penerima sama yang terpilih untuk menerima bantuan berupa keperluan harian itu sejak beberapa tahun lalu.

Pengerusi maahad berkenaan Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, program terbabit menjadi tradisi sejak 1990-an masih diteruskan pada tahun ini dengan menyasarkan 2,000 penerima.

Katanya, ia diadakan semula selepas tergendala sebelum ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Setiap tahun kita mengadakan program ini untuk membantu golongan memerlukan terutama yang tinggal di sekitar Wangsa Maju.

"Hari ini mereka diberikan borang untuk memudahkan urusan agihan pada 8 April ini. Alhamdulillah, ramai yang datang dan kebanyakannya adalah penerima sama sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Penerima Khatijah Ninggal, 74, berkata dia bersyukur kerana sekali lagi dapat mendaftar untuk menerima bantuan daripada maahad berkenaan.

"Sejak dulu lagi, memang setiap kali musim perayaan, saya akan datang ambil bantuan. Syukur kerana ia dapat meringankan beban, apatah lagi ketika umat Islam nak menyambut hari raya.

"Dulu tak ramai macam sekarang, Alhamdulillah, makin ramai yang dibantu dan semoga kita semua dapat meraikan hari raya dengan gembira," katanya.

Penerima lain, Khadijah Osman, 73, berkata dia juga antara penerima yang saban tahun bertuah kerana terpilih untuk menerima sumbangan.

"Program ini memang ditunggu-tunggu. Tahun lalu hanya ambil di restoran saja kerana tak boleh buat program. Semoga ia diteruskan lagi pada masa akan datang, insya-Allah," katanya.

Majlis penyerahan bantuan berkenaan akan diadakan di Maahad Tahfiz Madrasathul Faridiyah di Wangsa Maju pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 1:48 PM