JAWAHAR Ali bersama beras dan barangan lain yang disumbangkan kepada asnaf dan golongan memerlukan. FOTO Ihsan pembaca.
JAWAHAR Ali bersama beras dan barangan lain yang disumbangkan kepada asnaf dan golongan memerlukan. FOTO Ihsan pembaca.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Madrasathul Faridiyyah di ibu negara menyediakan lebih 3,000 kampit beras untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan sempena Aidilfitri nanti.

Pengerusinya Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, ia susulan permintaan daripada penerima sumbangan pada program bantuan hari raya yang diadakan minggu lalu.

Katanya penyerahan beras secara pandu lalu itu akan diadakan Rabu ini di perkarangan kompleks pusat pengajian berkenaan bagi memudahkan penerima.

"Ketika penyerahan bakul makanan minggu lalu, kita dapat permintaan daripada golongan asnaf yang mahukan beras lebih daripada satu kampit. Jadi dengan adanya sumbangan dari beberapa pihak termasuk komuniti India Muslim, saya terfikir untuk agihkan beras kepada sesiapa juga yang memerlukan.

"Tanpa sebarang pendaftaran, mereka boleh datang ke Madrasathul Faridiyyah secara pandu lalu, bermula selepas Subuh Rabu ini dan ia akan diagihkan sehingga sehari sebelum Aidilfitri.

"Kita buka kepada semua yang memerlukan sama ada yang tinggal berdekatan, sekitar Lembah Klang atau di mana saja. Ia juga terbuka kepada masyarakat bukan Islam yang kurang berkemampuan, "katanya.

Sementara itu beliau berkata, program bantuan bakul makanan yang diadakan baru-baru ini mencipta sejarah tersendiri apabila mencatatkan jumlah penerima terbanyak melebihi 2,400 orang sejak diperkenalkan pada 1995.

Katanya, biarpun majlis sudah selesai, masih ada golongan asnaf yang meminta sumbangan untuk diri dan keluarga mereka, menyebabkan pihaknya menyediakan sumbangan tambahan dengan kerjasama pelbagai pihak.

"Pihak maahad menerima sumbangan tambahan daripada HRD Corp serta penyumbang lain. Alhamdulillah, ia menjadi rezeki kepada mereka yang benar-benar memerlukan," katanya.

Jawahar Ali berkata, pihaknya merancang untuk memperluaskan bantuan lain pada masa depan termasuk ayam segar untuk membantu keluarga susah.

"Insya-Allah, ini termasuk dalam perancangan kita. Doakan usaha ini dipermudahkan kerana kita mahu berkongsi kegembiraan dengan masyarakat, apatah lagi pada musim perayaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 6:13 PM