KHALID bersalaman dengan pemohon sumbangan hari raya di SK Taman Sri Rampai. FOTO Yusmizal Dolah Aling
KHALID bersalaman dengan pemohon sumbangan hari raya di SK Taman Sri Rampai. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling


“ALHAMDULILLAH, sejak 10 tahun lalu saya terima bantuan seperti ini. Bolehlah bepi barang keperluan untuk anak dan isteri.

“Walaupun saya sakit dan berkerusi roda, saya kena ikhtiarkan juga rezeki untuk mereka. Dengan jualan makanan ringan, dapatlah tampung perbelanjaan sekeluarga. Sumbangan ini sangat besar ertinya,” kata Abdul Zubir Mahini.

Dia antara 2,000 pemohon bantuan hari raya yang memenuhi perkarangan Sekolah Kebangsaan Taman Sri Rampai di ibu negara hari ini untuk mengisi borang bantuan hari raya 2019 daripada Kumpulan Restoran Ali Majju dan Tahfiz Al Madrasatul Faridiyah.

Katanya, sebagai orang kurang upaya, tidak kira bantuan sebesar mana pun, ia amat bermakna kepada orang susah sepertinya.

“Saya rasa bertuah kerana dibantu. Begitu juga kawan-kawan lain. Kami tiada pendapatan, jadi kami amat mengharapkan ada bantuan seperti ini,” katanya.

Majlis perasmian program disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Ali Maju Sdn Bhd, Datuk Jawahar Ali Taib Khan; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail.

Sementara itu, Jawahar Ali berkata, program berkenaan adalah acara tahunan sejak 22 tahun lalu bertujuan membantu golongan kurang mampu.

Katanya, tahun ini mencatatkan permohonan terbanyak berbanding tahun lalu sebanyak 1,500 orang.

“Kita akan bantu dari segi barangan keperluan asas dan wang tunai. Insya-Allah majlis penyerahan ini nanti akan disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita harap orang ramai akan bersama-sama dalam kerja amal seperti ini. Inilah masanya untuk kita beramal, membantu saudara seagama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 1:41 PM