Oleh Ahmad Ismail


Muar: Usaha seorang lelaki tempatan cuba menjadikan rumahnya di Bakri di sini, sebagai stor simpanan rokok seludup berakhir apabila kediaman berkenaan diserbu polis jam 10.30 malam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, selain menahan suspek berusia 48 tahun, pihaknya turut merampas 874 karton rokok seludup bernilai kira-kira RM180,000.

"Suspek mendapatkan bekalan rokok terbabit dari negara jiran dan menjadikan rumahnya sebagai stor sebelum ia diedar di sekitar Muar.

"Hasil siasatan awal, suspek aktif menjual rokok seludup ini sejak setahun lalu dan bergerak secara bersendirian," katanya ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, hari ini.

Menurut Raiz Mukhliz, rokok itu dijual kepada pekerja ladang dan pekerja kilang warga asing malah suspek turut menjadi 'pembekal' kepada kedai runcit yang menjual rokok seludup.

Suspek tiada kerja tetap selain tiada rekod jenayah lampau.

Suspek direman lima hari bermula 13 April lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barangan atau RM100,000, mana yang lebih tinggi," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 12:16 PM
Ketua Polis Daerah Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz menunjukkan rampasan rokok di. sidang media di Ipd Muar di sini, hari ini FOTO Ahmad Ismail
Ketua Polis Daerah Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz menunjukkan rampasan rokok di. sidang media di Ipd Muar di sini, hari ini FOTO Ahmad Ismail