ANWAR (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
ANWAR (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan tuduhan yang mendakwanya tidak lagi memberikan sepenuh tumpuan kepada agenda menangani kos sara hidup.

Sebaliknya Perdana Menteri menyifatkan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya itu adalah tuduhan liar semata-mata.

Ini kerana katanya, Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) yang bertempat di Pejabat Perdana Menteri petang tadi adalah pertama kali diadakan tahun ini.

"Saya dibantu oleh kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui beberapa jawatankuasa lain.

"Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan (JPP), Naccol yang dipengerusikan Ahmad Zahid (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wilayah dan Desa) telah bersidang sebanyak dua kali.

"Selepas ini beliau akan mempergiatkan usaha pemantauan dan pelaksanaan dasar dan strategi Kerajaan Malaysia Madani dengan mengadakan mesyuarat setiap bulan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mesyuarat Naccol dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Wilayah dan Desa juga serta tujuh Menteri Kabinet mewakili tujuh kluster di bawah Naccol.

Selain itu, mesyuarat turut dihadiri wakil daripada agensi kerajaan dan kementerian berkaitan, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan serta pakar dari institut penyelidikan.

Anwar berkata, adalah lebih wajar pihak yang membuat tuduhan itu bersama-sama Kerajaan Malaysia Madani mengembleng usaha dalam membantu rakyat serta mengurangkan berpolemik.

"Kos sara hidup adalah agenda nasional dan menuntut whole nation approach atau pendekatan seluruh negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar menyifatkan Inisiatif Rahmah yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semakin membuahkan hasil apabila konsep itu semakin meluas dari masa ke masa.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 71,400 Bakul Rahmah diedarkan kepada kelompok miskin tegar dengan pembabitan dan kerjasama daripada 10 penyumbang utama.

"Selain itu, inisiatif Jualan Rahmah kini membabitkan 16 pasar raya besar dan rangkaiannya yang meliputi 118 kawasan Parlimen dengan 8,223 lokasi, 12,000 unit penyimpanan stok (SKU) jualan sehingga 31 Disember depan.

"Bagi Menu Rahmah, 1,706 premis makan dan restoran mengambil bahagian dan berkenaan Bazar Ramadan Rahmah itu meliputi 41 lokasi dengan membabitkan seramai 913 peniaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 12:15 AM