NANTA (empat, kiri) bersama Nik Nazmi (tiga, kiri) bersama wakil yang Menandatangani Perjanjian Pajakan Tapak Komersial Di Antara Pesuruhjaya Tanah Persekutuan. FOTO Bernama
NANTA (empat, kiri) bersama Nik Nazmi (tiga, kiri) bersama wakil yang Menandatangani Perjanjian Pajakan Tapak Komersial Di Antara Pesuruhjaya Tanah Persekutuan. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini memeterai Perjanjian Pajakan membabitkan 13 tapak komersial dan bukan komersial seliaan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) di kawasan lebuh raya bertol.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perjanjian dengan syarikat konsesi lebuh raya di bawah seliaan KKR iaitu Prolintas dan IJM Corporation itu, mampu memoptimumkan penggunaan serta pembangunan di atas tanah Persekutuan bagi menjana ekonomi lebih berdaya saing.

Beliau berkata, tempoh pajakan berkenaan akan berterusan selagi mana konsesi syarikat lebuh raya bertol yang terlibat masih berkuat kuasa.

Katanya, ia selaras dengan Seksyen 221, Kanun Tanah Negara 1965 yang memperuntukkan PTP selaku pemilik tanah yang berdaftar boleh memajakkan tanah bagi tempoh maksimum 99 tahun.

"Syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah seliaan KKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia mendapat kepentingan eksklusif dalam mengawal selia, mengoptimumkan pembangunan komersial serta menguruskan aturan semasa berkaitan dengan tanah atau fasiliti didirikan di atasnya," katanya.

Nik Nazmi berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian tersebut di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang turut hadir berkata, pajakan itu mampu memastikan pengguna mendapat perkhidmatan yang cekap dan bermutu tinggi semasa menggunakan lebuh raya.

Beliau berkata, pihaknya akan memantau prosedur dan isu pengurusan tanah di kesemua 36 lebuh raya yang beroperasi di negara ini.

"Kementerian bertekad dan komited untuk memberi perhatian serius kepada isu pengambilan tanah, perizaban jajaran, pemberimilikan dan pajakan projek lebuh raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 10:05 PM