Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan mencederakan anjing pada Januari dan November lalu.

Bagaimanapun, pemandu peribadi, Amir Abd Salim Meor Lope, 51, dan pemandu lori, S Mathialakan, 55, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, Amir didakwa dengan kejam mencederakan seekor anjing sehingga menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya di belakang bengkel kereta tidak bernombor di Jalan Miri, Taman Beringin di Jinjang Utara antara 4 dan 5 Januari lalu.

Mathialakan pula didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seekor anjing di hadapan rumah di Jalan Pertiwi, Taman Maluri pada 7.23 pagi, 10 November lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Wilayah Persekutuan Hasiah Musa manakala peguam SI Rajah mewakili Mathialakan dan Amir Abd Salim tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hasiah memohon jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap OKS tetapi Rajah dan Amir masing-masing merayu jaminan rendah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua OKS masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua OKS kemudiannya membayar jaminan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 2:54 PM