Watak adiwira bersama sebahagian daripada penghuni PAAYDAQI dalam program komuniti baru-baru ini. FOTO Ihsan Farabi Zawali
Watak adiwira bersama sebahagian daripada penghuni PAAYDAQI dalam program komuniti baru-baru ini. FOTO Ihsan Farabi Zawali
Yusmizal Dolah Aling


KEGEMBIRAAN jelas terpancar di riak wajah 60 anak yatim yang menghuni Pertubuhan Anak-anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu (PAAYDAQI), dekat Kuala Lumpur apabila mereka dikunjungi watak adiwira yang sama-sama bergotong-royong dalam satu program komuniti baru-baru ini.

Masakan tidak, mereka tidak melepaskan peluang untuk bermesra dengan Superman, Spiderman, Iron Man dan Star Lord yang sebelum ini hanya ditonton menerusi kaca televisyen. Malah, adiwira itu turut menyambut hari lahir seorang penghuni PAAYDAQI.

Pengerusi PAAYDAQI, Mariamah Miskan berkata, kehadiran watak adiwira popular itu menceriakan penghuni rumah berkenaan.

“Ia sekali gus memberi ruang kepada anak yatim terutama mereka yang masih kecil untuk berhibur serta menjalankan aktiviti dianjurkan seperti permainan gotong royong membersihkan kawasan.

“Kami amat bersyukur kerana ada pihak seperti Majlis Belia Negeri Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Persatuan Belia Bandar Ampang Jaya memilih rumah ini sebagai tempat program.

“Pengisian seperti ini tidak pernah diadakan sebelum ini dan ia memberikan kegembiraan kepada penghuni sejak ditubuhkan Oktober 2018,” katanya kepada Harian Metro.

Mariam berkata, penghuni di bawah jagaannya berusia antara lapan bulan hingga 17 tahun dengan diawasi lapan pengasuh secara sukarela.

Menurutnya, sebagai pertubuhan yang baru mendapat kelulusan daripada pihak berwajib, pihaknya memerlukan sumbangan daripada orang ramai dan syarikat korporat untuk membiayai operasi.

Sementara itu, bagi pemain cosplay, Farabi Zawali, 33, dia begitu seronok bersama dengan penghuni rumah berkenaan yang begitu gembira bermain dengan empat adiwira yang didatangkan khas.

“Ia sebahagian daripada tanggungjawab mereka untuk menghiburkan anak yatim dengan cara tersendiri menerusi kerjasama pelbagai pihak.

“Dalam kita bergembira, ada yang berduka. Jadi sekurang-kurangnya kehadiran kami dapat menghiburkan mereka. Insya-Allah, jika ada rezeki, kami akan datang lagi nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 5:47 PM