Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Idea seorang imam untuk mengimarahkan masjid dengan menganjurkan bazar Ramadan di perkarangan masjid berjaya menarik ramai pengunjung dan jemaah sepanjang Ramadan.

Biarpun berada di lokasi agak terpencil namun kewujudan bazar di Masjid al-Busyra, Merbok, di sini, berjaya menjadikan kawasan itu meriah malah ada pengunjung dari luar Kedah yang sanggup singgah di situ.

Imam yang juga pengerusi masjid, Mohd Firdaus Mat Akhir, 35, berkata, usahanya mewujudkan bazar itu berjaya menarik umat Islam terutama golongan muda untuk solat berjemaah.

Katanya, idea itu tercetus kerana beliau mahu menjadikan masjid sebagai pusat sehenti dan mesra musafir.

"Memandangkan kawasan ini orang sering lalu-lalang untuk ke Tanjung Dawai dan lain-lain, tiada tempat yang orang boleh singgah dengan selesa untuk makan, mandi, rehat dan sebagainya, jadi kita buat masjid sebagai masjid rehat dan rawat (R&R).

"Tahun lalu kita sudah ada bazar tapi akibat kurang promosi, ia gagal. Tahun ini Alhamdulillah seramai 50 peniaga sertai bazar Ramadan dan sambutannya sangat luar biasa. Kita bukan saja terima pengunjung tempatan tapi luar Kedah pun singgah berbuka di sini," katanya ketika ditemui.

Mohd Firdaus berkata, pihaknya menerusi koperasi masjid hanya mengenakan sewa sebanyak RM500 sebulan kepada peniaga dan mereka hanya membawa meja dan barang jualan kerana khemah disediakan pengurusan masjid.

Katanya, terdapat pelbagai menu menarik yang dijual dengan harga berpatutan di bazar itu.

Beliau berkata, untuk perancangan tahun depan, pihaknya akan meluaskan tapak bazar bagi memberi peluang kepada lebih ramai peniaga.

"InsyaAllah kita rancang untuk tempatkan seramai 250 peniaga tahun depan, saya difahamkan bazar Ramadan Taman Ria di sini ada 251 peniaga, jadi kita cuba jadikan bazar di masjid ini pun lebih kurang sama," katanya yang dilantik menjadi imam di masjid itu pada 2018.

Selain itu, Mohd Firdaus turut mempunyai perancangan membina hotel empat tingkat dengan kemudahan 30 hingga 40 bilik menerusi konsep penajaan bagi memastikan masjid itu terus imarah dengan kehadiran orang tempatan dan pengunjung luar.

"Tidak ada lagi tembok dan pagar masjid, orang ramai boleh keluar masuk bila-bila masa saja, kita juga menang pertandingan tandas bersih dan mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Bagaimanapun apa yang lebih penting sekarang, masjid kita penuh dengan jemaah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 11:47 AM