Baharom Bakar


Kuala Nerus: Samosa, kerepok lekor goreng dan ketupat antara juadah berbuka puasa menjadi pilihan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat bazar ramadan Gong Badak, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba kira-kira jam 5.20 petang di bazar itu dan meluang masa selama 15 minit menyantuni dan bermesra dengan pengunjung dan peniaga.

Turut mengiringi Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun adalah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar sempat membeli kerepok lekor goreng, samosa dan ketupat sebagai juadah berbuka puasa, sebelum ke majlis berbuka puasa Malaysia Madani bersama Rakyat di Dewan Sultan Mizan Zainal Abidin Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Sementara itu, peniaga bazar ramadan, Rohani Said, 43, dari Manir, di sini, terkejut apabila Anwar singgah dan memesan kerepok lekor goreng, samosa dan ketupat.

"Disebabkan terlalu terkejut, saya secara tergesa-gesa tanpa mengira harga juadah dibeli Anwar.

"Kita secara spontan menyebut tiga juadah berbuka puasa hanya berharga RM20 ketika ditanya Anwar sebelum dibayar oleh pegawainya," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga bazar ramadan, Wan Nur Najwa Umairah Wan Demi, 35, terkilan kerana tidak sempat menghadiahkan gulai tempoyak ikan patin kepada pemimpin nombor satu negara itu.

"Kita sudah sudah menyediakan kepala dan bahagian badan ikan patin masak tempoyak untuk dihadiahkan kepada Anwar.

"Tetapi hasrat saya terbantut apabila terlalu ramai pengunjung ketika Anwar singgah digerai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 6:36 PM
ANWAR bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar beramah mesra bersama peniaga semasa hadir membeli juadah untuk berbuka puasa di Bazar Ramadan Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI
ANWAR bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar beramah mesra bersama peniaga semasa hadir membeli juadah untuk berbuka puasa di Bazar Ramadan Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI