MAJLIS Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh OKU penglihatan menggunakan al-Quran braille. FOTO ihsan Jawi
MAJLIS Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh OKU penglihatan menggunakan al-Quran braille. FOTO ihsan Jawi
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menganjurkan program Ihya' Ramadan bagi meraikan golongan kurang upaya (OKU) penglihatan di Kompleks MAB, Brickfields, hari ini.

Program penghayatan al-Quran OKU penglihatan itu hasil kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).

Menerusi kenyataan medianya, Jawi berkata, antara pengisian program adalah Forum Perdana Bicara al-Quran, iftar, solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah.

"Program dimulakan pada sebelah petang dengan Majlis Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh OKU penglihatan menggunakan al-Quran braille.

"Program yang dihadiri oleh 90 peserta itu bertujuan menghidupkan Ramadan dengan pelbagai aktiviti dan amal ibadah dalam kalangan golongan istimewa ini.

"Ia juga seiring dengan sambutan Nuzul al-Quran yang menekankan mengenai kepentingan menghayati mukjizat al-Quran dalam kehidupan walaupun dalam keadaan serba kekurangan," katanya.

Untuk rekod, Jawi giat melaksanakan program kefahaman Islam dan pengajian asas fardu ain kepada OKU penglihatan dan pendengaran secara berkala bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada mendapat bimbingan mendalami Islam.

Sejumlah 18 siri Kelas Bimbingan al-Quran dan Fardu Ain kepada OKU pendengaran dan penglihatan dijadualkan bagi 2023 untuk manfaat golongan OKU.

Selain itu, bantuan Jawi Food Bank turut disediakan bagi meringankan bebanan kos sara hidup golongan OKU.

Jawi berkata, inisiatif itu selaras dengan prinsip ihsan yang bermatlamat menyantuni semua golongan terutama menunaikan hak golongan minoriti seperti OKU mendapatkan pengetahuan agama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 5:31 PM