FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


KERAJAAN Negeri Sembilan dijangka menubuhkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di tempat kerja, selewat-lewatnya Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, projek perintis penubuhan TASKA itu akan beroperasi di bangunan Wisma Persekutuan dan Masjid Negeri untuk kakitangan Wisma Negeri.

Menurutnya, pihaknya sudah menjalankan kajian dan sedang mendapatkan maklum balas daripada semua kakitangan di dua bangunan berkenaan bagi melaksanakan projek itu.

"Kita sudah berbincang dengan pihak pengurusan dan sedang mengumpul maklum balas bagi mengetahui ada berapa ramai ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan memerlukan TASKA di tempat kerja.

"Selepas ini, satu mesyuarat akan diadakan untuk meneliti keperluan TASKA itu pada minggu depan," katanya pada sidang media di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Seremban, hari ini.

Nicole berkata, setakat ini maklum balas yang diterima amat positif dan beliau berharap penubuhan itu dapat dilaksanakan dalam masa terdekat atau selewat-lewatnya pada Januari tahun depan.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menyambut baik usaha kerajaan meminda Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, untuk memperketatkan undang-undang berkaitan pengasuh di rumah.

"Seperti sedia maklum, ramai pengasuh yang menjaga kanak-kanak di rumah. Oleh itu, kita mahu mewajibkan mereka yang menjaga sekurang-kurangnya empat kanak-kanak supaya mendaftar dengan JKM," katanya.

Katanya, ia bagi memastikan pengasuh mempunyai sijil kursus pengasuh dan premis yang diduduki selamat serta mematuhi garis panduan ditetapkan demi keselamatan kanak-kanak di bawah jagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 1:28 PM